Dr Dzulkefly buat kemunculan sampaikan kenyataan negara di Mesyuarat WHO Pasifik Barat
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad telah menyampaikan kenyataan negara bagi pihak Malaysia pada Mesyuarat Jawatankuasa Serantau Ke-75 bagi Pasifik Barat (WPRCM), Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) di Manila, Filipina hari ini.
WPRCM merupakan satu forum serantau di mana negara anggota berbincang dan menerima pakai dasar atau strategi yang diputuskan di peringkat WHO.
Dalam mesyuarat itu, Dr Dzulkefly menekankan pentingnya penguatkuasaan yang mapan untuk mengekang epidemik penggunaan produk tembakau dan e-rokok di Malaysia.
Beliau optimis bahawa Akta Kesihatan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 yang baru sahaja berkuatkuasa di negara ini akan memperkasa lagi usaha tersebut.
“Undang-undang ini juga dimaksudkan untuk bergerak selari dengan Konvensyen Rangka Kerja Kawalan Tembakau WHO (WHO FCTC), seterusnya memperkukuh lagi usaha kita untuk memupuk persekitaran dan gaya hidup yang lebih sihat untuk semua,” katanya.
WPRCM bertujuan untuk membincangkan isu-isu berbangkit; cabaran dan halangan; menerima usul atau cadangan baharu berkaitan dasar kesihatan sejagat; serta merangka strategi dan penyelesaian yang bersesuaian.
WPRCM Ke-75 kali ini membincangkan isu dan resolusi yang telah dipersetujui pada Persidangan Kesihatan Sedunia Ke-77 (WHA77) yang telah berlangsung dari 27 Mei hingga 1 Jun 2024, selain membincangkan cadangan agenda bagi WHA Ke-78 yang dijadualkan pada bulan Mei 2025.
Antara perkara berbangkit bagi Rantau Pasifik Barat yang bakal dibincangkan sepanjang WPRCM Ke-75 termasuklah Daya tahan iklim di fasiliti kesihatan; Penjagaan kesihatan primer yang transformatif (Transformative primary health care); Pembiayaan kesihatan; Kesihatan mulut; Kesihatan digital; Laporan kemajuan program-program teknikal; dan Usaha koordinasi dan kepimpinan.
BACA JUGA Kecoh AJP NAFAS gantung pengurus besar sendiri, LPP dakwa penggantungan tak sah?
Â