Inisiatif NAFAS selaras agenda reformasi kerajaan
Pengurus Besar Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS), Faris Arriffin berkata, setiap inisiatif yang dilaksanakan oleh pertubuhan itu adalah selaras dengan agenda reformasi kerajaan.
“Sepanjang tempoh kepimpinan saya, setiap inisiatif yang dilaksanakan di NAFAS adalah selaras dengan agenda reformasi kerajaan yang menekankan ketelusan, kecekapan, dan akauntabiliti.
“Keputusan untuk mengeluarkan kenyataan ini sebelum memulakan proses dalaman yang sewajarnya telah memberi kesan kepada perkembangan reformasi ini,” katanya menurut kenyataan hari ini.
Dalam satu kenyataan lain di media sosial, Faris berkata, beliau komited untuk membawa NAFAS ke tahap yang lebih tinggi dengan memperkukuh penjenamaan dan tadbir urus organisasi.
“Kami mengambil inspirasi daripada kejayaan koperasi antarabangsa, serta memperkenalkan teknologi canggih untuk meningkatkan produktiviti dan menarik lebih ramai generasi muda ke sektor pertanian.
“Dengan penambahbaikan model pemilikan dan budaya kerja, anak-anak syarikat NAFAS yang terlibat dalam rantaian nilai padi beras, ayam dan ternakan, jentera dan lain-lain akan memainkan peranan penting dalam proses pemodenan industri pertanian,” tambahnya lagi.
Beliau berkata demikian sebagai reaksi terhadap kenyataan beberapa Ahli Jemaah Pengarah NAFAS berhubung dakwaan kesalahan tatakelola yang melibatkan salahguna kewangan pertubuhan itu.
Semalam, dilaporkan Mesyuarat Ahli Jemaah Pengarah NAFAS Bil 5/2024 memutuskan untuk menggantung tugas Pengurus Besar dan membentuk satu pasukan khas bagi menyiasat secara terperinci pelanggaran tatakelola serta meneliti setiap penemuan dan laporan berkaitan perkara tersebut.
Jemaah Pengarah NAFAS menerusi kenyataan menyatakan telah berlaku pelanggaran tatakelola yang ketara apabila terdapat penyaluran kewangan NAFAS kepada badan-badan kerajaan atau NGO yang langsung tidak berkaitan dengan Pergerakan Pertubuhan Peladang (PP) dan di luar pengetahuan Jemaah Pengarah NAFAS keseluruhannya.
Mengulas lanjut, Faris berkata, beliau mengutamakan prinsip tadbir urus yang baik demi kepentingan semua pihak berkaitan.
“Keutamaan saya adalah untuk terus menegakkan prinsip tadbir urus yang baik, dan saya yakin NAFAS akan terus beroperasi dengan integriti demi kepentingan semua pihak berkepentingan,” kata beliau lagi.
BACA JUGA Ini sebabnya pindaan berhubung kewarganegaraan utamakan kepentingan negara
Â