Isu waktu masuk keluar hotel: Ini jawapan Menteri Pelancongan
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, hal berkaitan rumah tumpangan dan pemalaman, termasuk kawal selia tatacara operasi premis berkenaan berada di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.
Menurutnya, Akta Industri Pelancongan 1992 (Akta 482) memperuntukkan keperluan pendaftaran premis penginapan pelancong, termasuk hotel tetapi kawal selia dan penguatkuasaan operasi hotel bukan di bawah kementerian itu.
Sehubungan itu, beliau berkata, pihaknya akan berbincang dengan kerajaan negeri, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta pihak berkuasa tempatan (PBT) berhubung kewajaran memasukkan peruntukan mengenai pemberian lesen dan kawal selia tatacara operasi hotel ke dalam Akta 482.
“Selain itu, MOTAC akan berbincang dengan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam menyelesaikan isu merangkumi pengambilan pekerja dalam sektor perhotelan bagi memastikan standard dan perkhidmatan premis penginapan pelancong sentiasa tinggi, terutama dalam melaksanakan kempen Tahun Melawat Malaysia 2025,” jelasnya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.
King Sing menjawab soalan asal Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (PN-Bukit Gantang) sama ada kementerian mengambil serius dengan memantau lebih dekat isu penetapan waktu daftar masuk dan keluar oleh pengusaha hotel.
Sebelum ini, orang awam merungut mengenai ketidakadilan hotel tempatan yang sewenang-wenangnya mengubah waktu daftar masuk dan keluar hotel.
Susulan itu, King Sing menerusi hantaran di Facebook pada 20 Oktober lalu menggesa pihak hotel menyelaraskan semula masa daftar masuk dan keluar bagi memastikan pengguna menerima waktu penginapan sekurang-kurangnya 23 jam sehari.
Beliau berkata, penginapan 23 jam sehari adalah perkara biasa di luar negara dan tidak menjejaskan soal kebersihan atau kualiti penginapan.
Malah, tambahnya, pengguna juga berasakan wang dibelanjakan berbaloi dengan perkhidmatan diterima.
BACA JUGA Gempar seorang mati makan burger McDonald’s, 49 lagi cirit dan muntah