Kecoh AJP NAFAS gantung pengurus besar sendiri, LPP dakwa penggantungan tak sah?
Pendaftar Pertubuhan Peladang (LPP) mendakwa keputusan Ahli Jemaah Pengarah (AJP) NAFAS yang menggantung Pengurus Besarnya, Muhammad Faris Arriffin adalah tidak sah.
Di bawah perundangan Pertubuhan Peladang, sebarang aduan atau dakwaan ke atas Pengurus Besar NAFAS hendaklah dirujuk terlebih dahulu kepada Pendaftar sebelum sesuatu keputusan itu boleh dilaksanakan.
Peraturan itu termaktub dalam Seksyen 7(1) Akta Pertubuhan Peladang 1973 [Akta 109].
Namun lembaga itu dalam satu kenyataan berkata, sehingga kini, pihaknya belum menerima sebarang laporan rasmi berkaitan penggantungan tugas Pengurus Besar NAFAS daripada Pengerusi Jemaah Pengarah NAFAS.
“Justeru itu, keputusan Mesyuarat Jemaah Pengarah NAFAS Bil. 5/ 2024 pada 22 Oktober 2024 berkaitan penggantungan Pengurus Besar NAFAS tidak boleh dikuatkuasakan sehingga satu pertimbangan dan keputusan muktamad dikeluarkan oleh Pendaftar.
“Tindakan Ahli Jemaah Pengarah NAFAS mengeluarkan kenyataan media tersebut adalah tidak wajar,” tegasnya.
Semalam, AJP NAFAS mendakwa telah berlaku pelanggaran tatakelola yang ketara apabila terdapat penyaluran kewangan NAFAS kepada badan-badan kerajaan atau NGO yang langsung tidak berkaitan dengan Pergerakan Pertubuhan Peladang (PP) dan di luar pengetahuan Jemaah Pengarah NAFAS keseluruhannya.
Pengurus Besarnya pula dalam satu kenyataan balas pagi tadi, menafikan tuduhan tersebut dan mendakwa tuduhan dikemukakan terhadapnya dibuat sebelum sebarang proses semakan dalaman dimulakan.
Faris berkata, sepanjang tempoh kepimpinannya, setiap inisiatif yang dilaksanakan di NAFAS adalah selaras dengan agenda reformasi kerajaan yang menekankan ketelusan, kecekapan, dan akauntabiliti.
Justeru katanya, keputusan untuk mengeluarkan kenyataan terhadapnya sebelum memulakan proses dalaman yang sewajarnya telah memberi kesan kepada perkembangan reformasi NAFAS.
BACA JUGA Inisiatif NAFAS selaras agenda reformasi kerajaan
Â