Nasiruddin dan isteri antara 22 dituduh hari ini
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Global Ikhwan Service and Business Holdings (GISBH), Datuk Nasiruddin Mohd Ali antara 22 individu yang akan dituduh di Mahkamah Selayang, Selangor hari ini.
Turut dituduh isterinya Azura Md Yusof yang juga dianggap pimpinan ‘spiritual’ GISBH serta anak bekas pengasas Al-Arqam, Ashaari Muhammad iaitu Mohammad Adib At-Tamimi.
Pertuduhan terhadap mereka berdasarkan Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan iaitu menjadi ahli kumpulan jenayah terancang.
Nasiruddin pada 16 Oktober lalu, antara 16 individu yang ditahan semula mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) (Sosma) 2012.
Polis telah menahan 58 individu di bawah Sosma termasuk 16 orang yang juga pengurusan tertinggi GISBH sejak Op Global dilancarkan pada 11 September lalu.
Mereka antara 415 individu yang ditahan dalam Op Global hingga fasa keempat.
Dalam masa sama, 35 individu masih dalam tahanan reman, 273 orang dijamin, 37 individu dibebaskan tanpa syarat, dua orang diserahkan kepada pihak Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah dan seorang lagi kepada Jabatan Imigresen untuk tujuan pengusiran.
GISBH menggemparkan negara apabila penganiayaan kanak-kanak termasuk salah laku seksual di rumah jagaan berkaitan syarikat yang terpalit dengan ajaran sesat itu terbongkar.
Seramai 402 kanak-kanak berusia antara satu hingga 17 tahun diselamatkan pihak polis.
Mereka terbabit dipercayai dieksploitasi di 20 rumah kebajikan di Selangor dan Negeri Sembilan dalam Op Global pada 10 September lalu.
BACA JUGA Ini sebabnya pindaan berhubung kewarganegaraan utamakan kepentingan negara
Â