Punyalah ‘rare’ hadir Parlimen, aksi MP PN ini jadi bahan jenaka

Kehadiran Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang di Parlimen yang dianggap ‘rare’ menyaksikan ada rakan partinya berswafoto dengan Ahli Parlimen Marang itu.

Aksi wakil rakyat Perikatan Nasional (PN) berkenaan merakamkan foto bersama Abdul Hadi itu kemudiannya menjadi bahan jenaka warganet.

“Bila kau dah lama tak masuk kelas sampai member-member kau pun buat perangai,” tulis pengguna X, @SyedAkramin.

“Punyalah ajaib keberadaan kau di Parlimen, sampai member dari parti sendiri kena ambil selfie buat bukti hadir, sesi akan datang tidak tahu lagi bila,” perli @huzafah_.

Abdul Hadi yang juga bekas Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah umum dikenali sebagai Ahli Parlimen yang kerap tidak menghadiri sidang Dewan Rakyat.

Menerusi pangkalan data MyMP, pemimpin Pas yang digelar ‘Tuan Guru’ itu hanya menghadiri 54 kali daripada 162 sesi persidangan Parlimen sejak 26 Julai 2021.

Ini bermakna kemunculan Abdul Hadi di Parlimen cuma 33 peratus daripada keseluruhan sesi persidangan, menurut data MyMP yang dilihat tidak dikemaskini itu.

Walau bagaimanapun, rekod kehadiran pemimpin yang terkenal dengan Amanat Hadi di Banggol Peradong, Terengganu pada April 1981 itu dilihat semakin baik dalam Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-15 yang bersidang sejak 14 Oktober lalu.

Semakan Harapandaily menerusi senarai kehadiran Ahli Parlimen di Penyata Rasmi mendapati Abdul Hadi, 77, hanya dua tidak hadir daripada lapan sidang mesyuarat itu setakat 23 Oktober lalu.

Untuk rekod, sidang Dewan Rakyat selama 35 hari hingga 12 Disember depan menumpukan pada pembentangan Belanjawan 2025 bertemakan “Ekonomi MADANI, Negara Makmur, Rakyat Sejahtera”.

Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2025 itu akan dibahas di peringkat dasar bermula 28 Oktober hingga 5 November sebelum jawapan oleh menteri-menteri selama empat hari.

Persidangan kemudiannya diteruskan dengan perbahasan RUU itu di peringkat jawatankuasa bermula 13 November hingga 3 Disember untuk diluluskan Dewan Rakyat.

BACA JUGA Masalah bunuh diri di Kelantan semakin serius