Insiden kibar bendera China, polis sahkan sudah panggil penganjur
Polis sudah pun memanggil penganjur acara yang mengadakan perarakan kereta berhias berunsur keagamaan di Dataran Menara Condong, Teluk Intan, Perak.
Mengesahkan perkara itu, Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata pihaknya telah menerima aduan daripada seorang lelaki Melayu warga tempatan yang mendakwa telah melihat video berdurasi satu minit di Facebook.
Rakaman itu menyaksikan sekumpulan peserta warga asing yang disyaki berasal dari China berarak sambil mengibarkan bendera negara mereka.
“Siasatan pihak polis mendapati pada 24 Oktober pada jam 8 malam sehingga 11.30 malam, perarakan tanpa permit ini yang berunsurkan keagamaan dan kereta berhias telah berlangsung dengan sekitar 400 penonton.
“Pihak penganjur telah dipanggil untuk rakaman keterangan dan akan minta untuk mengemukakan semua peserta warga asing yang disyaki berasal dari China untuk tampil membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kes diklasifikasikan di bawah seksyen 9(1) Akta Perhimpunan Aman 2012 kerana mengadakan perarakan tanpa permit polis dan Seksyen 13(1) Akta Lambang Kebangsaan 1949 kerana mempamerkan lambang kebangsaan negara asing di tempat awam.
Sementara itu Azizi Mat Aris menasihatkan orang ramai agar tidak terlibat dengan sebarang perhimpunan haram yang boleh menimbulkan kacau ganggu dan menggugat ketenteraman awam.
Mana-mana individu yang didapati bersalah jika disabitkan, boleh didenda tidak melebihi RM10,000 di bawah peruntukan Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012.
Beliau juga mengingatkan supaya mana-mana pihak yang ingin menganjurkan perhimpunan perlu menghantar permohonan kepada pihak polis dalam tempoh 10 hari sebelum tarikh perhimpunan mengikut peruntukan Akta Perhimpunan Aman 2012.