Isu sijil halal: Teresa Kok saman fitnah Akmal Saleh

Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok memfailkan saman fitnah terhadap Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh di Mahkamah Tinggi Melaka pada 21 Oktober lalu.

Naib Presiden DAP berkenaan selaku plaintif mengemukakan saman tersebut menerusi Tetuan SN Nair & Partners.

Ia berhubung kenyataan didakwa fitnah oleh Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Negeri itu dalam video di aplikasi TikTok, pada 7 September lalu.

Pemimpin DAP berkenaan menamakan Akmal selaku defendan tunggal dan menuntut pampasan, ganti rugi am, teruk dan teladan terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri Melaka itu.

Selain itu, Teresa turut memohon injunksi untuk menghalang Akmal daripada terus menyebut, menulis atau menerbitkan perkataan yang memfitnal serta relif lain yang difikirkan adil serta sesuai oleh mahkamah.

Beliau mendakwa defendan, membuat kenyataan menghina dan merendahkan yang membawa makna beliau bersifat perkauman, seseorang yang menyalahi undang-undang serta tidak menghormati agama Islam.

Â