Jalan Panjang Prabowo Subianto

OLEH NASAIE ISMAIL

Negara jiran Indonesia baru menerima secara rasmi Presiden baru Prabowo Subianto ahad lalu.

Lebih 30 ketua negara dan wakil negara asing hadir di majlis angkat sumpah beliau termasuk dari China, Amerika, Russia, Jerman, Saudi, Mesir, Turki, Iran dan negara negara jiran seperti Malaysia, Filipina dan Singapura.

Paling menarik ialah kehadiran Perdana Menteri Timor Leste Xanana Gusmoa dan beberapa ketua negara kecil di Pacific Island. Ada ceritanya. Sebentar.

Awal tahun ini adalah percubaan kali ketiga Prabowo menyertai pilihanraya Presiden selepas tewas sebanyak dua kali kepada Jokowi dalam Pilihanraya Presiden 2014 dan 2019.

Sebelumnya dalam pilihanraya 2009, Prabowo menjadi gandingan kepada Megawati sebagai calon Naib Presiden (jawatan kedua selepas Presiden) dan tewas di tangan pasangan Sosilo Bambang Yudiyano dan Bodiun

Dengan makna Prabowo telah menyertai Pilihanraya Presiden sebanyak 4 kali dan tewas sebanyak 3 kali dan menang buat kali keempat di tahun 2024 diusia 73 tahun.

Siapa Prabowo

Prabowo dilahirkan dalam keluarga ternama di era pemerintahan Sokarno. Bapa beliau merupakan pakar ekonomi yang pernah menjadi menteri seperti Menteri Kewangan dan Menteri Perdagangan di era Sokarno dan Soharto sejak 1955 lagi.

Namun di era 60-an, berlaku perselisihan diantara bapa beliau dengan Sokarno menyebabkan mereka sekeluarga menjadi ‘pelarian politik’ ke luar negara termasuk ke UK dan Malaysia.

Di situlah Prabowo sangat memahami Malaysia secara khususnya Kuala Lumpur kerana beliau pernah mendapat pendidikan menengah di Victoria Institute bersebelahan Stadium Merdeka.

Bapanya terlibat menyusun gerakan menjatuhkan Sokarno dan naiknya Suharto di tahun 1967 dan mereka sekeluarga kembali ke Indonesia dan bapanya kembali menjadi menteri juga berkait ekonomi.

Prabowo menyertai angkatan tentera Indonesia dan mendaki kedudukan sehingga ke Leftenan Jeneral iaitu kedudukan kedua tertinggi dalam tentera iaitu panglima 3 bintang.

Dalam masa yang sama beliau juga berkahwin dengan anak perempuan Presiden Suharto di tahun 80-an. Beberapa operasi ketenteraan sering dikaitkan dengan beliau ialah operasi menentang pemberontakan Timor Timur dan Papua serta operasi mengamankan gerakan Reformasi 1998.

Kebangkitan rakyat jatuhkan Presiden 30 tahun

Tahun 1998 adalah kemuncak krisis politik Indonesia apabila berlaku kebangkitan rakyat menyebabkan Presiden yang memerintah selama 30 tahun iaitu Suharto terpaksa meletakkan jawatan dan digantikan oleh BJ. Habibie.

Prabowo pula berdepan dengan perceraian dengan isterinya yang juga anak Presiden dan lebih malang lagi beliau dipecat daripada kedudukannya dalam tentera Indonesia.

Sejak itu beliau berhijrah ke Jordan menuruti langkah bapanya di era 60-an menjadi pelarian politik secara sukarela.

Pelbagai dakwaan dikenakan kepada beliau termasuk terlibat berpakat untuk ‘menggantikan’ bapa mentuanya Suharto sebagai Presiden, merancang untuk menggulingkan BJ. Habibie secara rampasan kuasa tentera dan didakwa terlibat dalam penculikan 9 aktivis mahasiswa yang menggerakkan reformasi.

Prabowo menafikan kesemua tuduhan tersebut dan di era Gus Dur beliau mendesak supaya diadakan siasatan dan tindakan mahkamah untuk membersihkan namanya.

Begitu juga dalam setiap kali pilihanraya disertai beliau, isu pelanggaran hak asasi manusia dibangkitkan ketika beliau mengetuai operasi ketenteraan di Papua dan di Timor Leste.

Selepas Gus Dur dan Megawati mengambil alih pemerintahan dari Habibie, Prabowo kembali diberi kebebasan tetapi beliau tidak kembali menjadi tentera atau aktif politik melainkan fokus kepada perniagaan.

Sehinggalah 2008, beliau dan rakan-rakannya sama ada bekas pegawai kanan tentera atau bekas kepimpinan parti Golkar mengasaskan Parti Gerindra dan menyertai Pilihanraya Presiden 2009 bergandingan dengan Megawati. Selepas itu namanya kembali berada di persada politik Indonesia selama hampir 2 dekad.

Malah hubungannya dengan Megawati anak Sokarno yang memimpin Parti Demokratik Indonesia Perjuangan (PDI-P) juga semakin rapat.

Kemunculan Jokowi dan Probowo ditinggalkan

Di era ini juga munculnya nama baru dalam politik Indonesia iaitu kader PDI-P di Jawa Tengah yang menjadi Datuk Bandar Surakarta, Solo iaitu Joko Widodo atau dikenali Jokowi.

Pendekatan Jokowi yang mesra rakyat, mudah turun ke lapangan menjadi sebutan penduduk Indonesia sepanjang 2005-2012 beliau menduduki jawatan tersebut.

Sebagai penghormatan kepada Megawati dan PDI-P yang banyak membantu beliau kembali ke medan politik, Prabowo mencadangkan Jokowi sebagai calon Gabenor Jakarta dalam pilihanraya 2012. Kader PDI-P itu digandingkan dengan tokoh muda Gerindra iaitu Ahok sebagai calon Timbalan Gabenor.

Gabungan Jokowi (PDI-P) dan Ahok (Gerindra) ini memenangi pilihanraya perbandaran Jakarta dan tentunya ia satu kegembiraan buat Prabowo dan juga Megawati.

Ramai ketika itu menganggap bahawa cadangan Prabowo yang mengangkat Jokowi sebagai Gabenor Jakarta itu sebagai persediaan Prabowo untuk menjadikan Jokowi sebagai pasangannya dalam pilihanraya Presiden 2014 sebagai calon Naib Presiden.

Ia dilihat sebagai satu konsesus di antara Prabowo yang lebih muda untuk menggantikan Megawati sebagai calon Presiden berikutnya selepas kedua mereka tewas dalam pilihanraya 2009.

Manakala Jokowi pula semakin menyerlah semenjak menjadi Gabenor Jakarta (2012-2014) sehingga ramai melihat beliau sebagai tokoh baru atau pemain baru politik Indonesia di tahap nasional.

Di atas kemasyhuran itu, maka Jokowi diumumkan sebagai calon Presiden Indonesia dalam pilihanraya 2014 meninggalkan Prabowo bersendirian.

Lebih malang buat Prabowo, kader partinya sendiri Ahok berpindah parti ke PDI-P dan seterusnya menggantikan Jokowi sebagai Gabenor Jakarta. Maka bermulalah pemisahan di antara Prabowo-Jokowi atau Gerindra-PDI-P.

Prabowo berpasangan dengan tokoh baru Hatta Rajasa menentang pasangan Jokowi-Jusuf Kalla (2014) dan berpasangan dengan Sandiaga Uno menentang Jokowi-Kiai Maa’ruf Amin (2019).

Kedua-dua pilihanraya beliau tewas. Menariknya ketika itu, Prabowo disokong kuat parti beraliran Islam antara yang terbesar di Indonesia iaitu Parti Keadilan Sejahtera (PKS). Sebelumnya 4 orang kader PKS menyertai kabinet Sosilo 2009-2014 sebagai menteri.

Selepas tewas kepada Jokowi kali kedua (2019), Prabowo dijemput Jokowi untuk menyertai kabinet beliau sebagai Menteri Pertahanan.

Beliau menerimanya dan pasangannya untuk calon Naib Presiden Sandiaga Uno juga dilantik menjadi Menteri Pelancongan.

Kesemua parti politik Indonesia termasuk yang berpakat dengan Prabowo dalam pilihanraya Presiden 2019 turut sama mendokong pemerintahan Jokowi penggal kedua (2019-2024) kecuali PKS.

Maka PKS menjadi satu-satunya parti pembangkang di penggal kedua pemerintahan Jokowi (2019-2024).

Sebelum itu, dalam Pilihanraya Gabenor Jakarta 2017, Prabowo berasama gabungannya dengan PKS telah mengangkat Anies Beswadan sebagai calon Gabenor Jakarta menentang Ahok iaitu calon PDI-P iaitu parti Jokowi dan Megawati.

Anies mendapat kemenangan dan mentadbir Jakarta 2017-2022. Anies seorang ahli akademik sebelumnya pernah menjadi Menteri Pendidikan Indonesia di kabinet Jokowi penggal pertama (2014-2016) sebelum beliau ditamatkan jawatannya kerana berbeza pandangan dengan Jokowi.

Setahun sahaja tiada jawatan, terus diangkat Prabowo dan gabungannya menjadi Gabenor Jakarta.

Probowo ‘dicampak’ kali kedua

Anies dan Prabowo

Nama Anies memuncak sebagai Gabenor Jakarta melebihi kedudukannya sebagai menteri sebelumnya. Setelah habis jawatannya sebagai Gabenor Jakarta 2022, Anies telah dicalonkan oleh PKS sebagai calon Presiden Indonesia untuk pilihanraya Presiden 2024.

Walaupun 2 penggal (2014 dan 2019) mendokong Prabowo, hubungan PKS semakin menjarak semenjak Prabowo menyertai kabinet Jokowi sebagai Menteri Pertahanan (2019-2024).

Nama Anies menjadi fenomena sehinggalah mendapat sokongan beberapa parti besar yang lain seperti Parti Nasdem (pecahan Golkar dipimpin jutawan Surya Paloh), Parti Kebangkitan Bangsa-PKB (diasaskan oleh Gus Dur dan sering dikaitkan dengan Nahdatul Ulama), Parti Demokrat (pecahan Golkar ditubuhkan oleh Presiden Indonesia ke-6 Sosilo Bambang) dan beberapa parti lain.

Demokrat akhirnya beralih kepada Prabowo setelah pakatan Anies tidak menamakan calonnya sebagai calon Naib Presiden. Anies pula mengangkat Ketua Umum PKB iaitu Muhaimin Iskadar atau Cak Imin sebagai pasangannya untuk calon Naib Presiden.

Prabowo kehilangan sokongan yang besar apabila PKS dan lain-lain parti yang mendokongnya selama 2 penggal meninggalkan beliau dalam berhadapan pilihanraya Presiden 2024.

Malah Anies Beswadan sendiri adalah Gabenor Jakarta yang diangkat Prabowo ditahun 2017 kini menjadi bakal calon utama untuk menentang beliau. Hal yang sama berulang kali kedua buat Prabowo setelah ‘ditinggalkan’ Jokowi yang diangkat beliau sebagai Gabenor Jakarta 2014 yang lalu.

Di bulan-bulan akhir pencalonan, bekas pasangannya sebagai calon Naib Presiden iaitu Sandiaga Uno pula mengistiharkan keluar parti Prabowo iaitu Gerindra dan menyertai Parti Persatuan Pembangunan (PPP) sekaligus menyokong pencalonan Ganjar sebagai calon Presiden daripada PDI-P iaitu parti Megawati untuk menentang Prabowo.

Sekaligus menunjukkan Prabowo hilang begitu ramai tokoh politik dan parti-parti yang mendokongnya selama ini.

Diringkaskan cerita, akhirnya Prabowo berjaya membentuk gabungan baru melibatkan banyak parti termasuk Golkar (parti Suharto), Demokrat (parti Sosilo), Parti Amanah Nasional-PAN (parti ditubuh Amien Rais), Parti Bulan Bintang (Yusril Ehza Mahendra), Parti Gelora (ditubuh Anis Matta bekas Presiden PKS) dan beberapa parti kecil lain.

Rumus bertiup kencang juga bahawa bekas lawannya selama 2 penggal iaitu Presiden Jokowi memberi dokongan kepada Prabowo dan ia dibuktikan dengan kemarahan Megawati secara terbuka kepada Jokowi yang tidak menyokong calon daripada partinya sendiri iaitu Ganjar (PDI-P).

Jokowi kembali sokong Prabowo

Kemuncaknya ialah diumumkan anak lelaki Jokowi bernama Gibran diangkat Prabowo sebagai pasangannya untuk calon Naib Presiden. Dengan segera gelombang sokongan yang asalnya dilihat berpihak kepada calon lain, beralih kepada Prabowo.

Pasangan calon Anies Beswadan dan Muhaimin Iskadar dilihat saingan utama kepada Prabowo-Gibran. 14 Februari 2024, menyaksikan pilihanraya Presiden Indonesia dimenangi besar oleh pasangan Prabowo-Gibran.

Dengan itu juga Prabowo menjemput semua parti politik termasuk lawannya untuk menyertai pemerintahan yang akan beliau mulakan 20 Oktober baru baru ini.

Ramai melihat sokongan Jokowi sama ada sebagai Presiden Indonesia yang berkuasa atau sebagai tokoh popular menjadi pemangkin kemenangan Prabowo disebalik hilangnya ramai rakan pakatannya seperti PKS dalam pilihanraya tersebut.

Perjalanan panjang Prabowo ini termasuklah dua kali menjadi ‘pelarian politik’ iaitu mengikuti bapanya yang berkrisis dengan Sukarno (1960-an) atau selepas dipecat tentera (1998) sehinggalah menjadi Presiden (20 Oktober 2024) penuh berliku dan luas dengan pelajaran.

Megawati yang mewarisi kepimpinan bapanya Sukarno boleh terbuka berpakat dan mengangkat Prabowo dalam politik melalui gabungan mereka 2009.

Jokowi, Anies Beswadan, Ahok dan Sandiaga Uno yang diangkat Prabowo sebagai Gabenor, Timbalan Gabenor dan calon Naib Presiden merangkap Menteri meninggalkan beliau, malah menentang beliau secara langsung sebagai calon Presiden.

Namun selepas 2 penggal, Jokowi pula menjadi pendokong Prabowo sebagai Presiden. Bagaimana pula Anies di masa hadapan? Tiada yang mustahil. Manakala pasangan Anies sebagai calon Naib Presiden pula iaitu Muhaimin Iskandar menjadi antara orang terawal mengumumkan sokongan kepada kerajaan Prabowo dan beliau diangkat menjadi Menteri Kanan kabinet Prabowo.

Manakala PKS sebagai tulang belakang utama Prabowo selama 2 penggal (2014 dan 2019), berubah menjadi tulang belakang utama pula menentang Prabowo dalam pilihanraya Presiden 2024 dengan mengangkat Anies Beswadan. Namun selepas PKS dan Sandiaga Uno meninggalkan Prabowo, ketika itulah Prabowo mendapat kemenangan.

Berbalik kepada tuduhan terhadap Prabowo terlibat menahan dan menyiksa 9 orang tokoh mahasiswa dalam Reformasi 1998 menjatuhkan Suharto yang dinafikan beliau.

Kini 6 daripada 9 mahasiswa tersebut menyertai parti Prabowo sebagai calon pilihanraya dan pegawai kanan di pejabat Prabowo sejak beberapa pilihanraya yang lepas sehinggalah pilihanraya 2024.

Manakala, tuduhan bahawa operasi ketenteraan beliau di Papua menyebabkan berlaku perlanggaran hak asasi manusia dan sering menjadi isu dimainkan dalam 2 kali pilihanraya Presiden sebelumnya (2014 dan 2019) telah menyebabkan beliau dikatakan tidak turun berkempen di Papua dalam dua pilihanraya tersebut.

Tetapi dalam pilihanraya Februari 2024 yang lalu, Prabowo mendapat kemenangan besar di hampir kesemua daerah mengundi di Papua kecuali sebuah daerah kecil sahaja beliau tewas.

Kenapa PM Timor Leste jadi tumpuan di hari pelantikan Prabowo?

Berbalik kepada point no-2 di atas iaitu di hari perlantikan secara rasmi Prabowo ahad lalu. Tetamu luar yang menjadi perhatian antaranya ialah Perdana Menteri Timor Leste iaitu Xanana Gusmoa.

Xanana adalah bekas pemimpin pemberontakan Timor Timur di era 80-90-an yang lalu dan memimpin gerila menentang tentera Indonesia yang antaranya dipimpin oleh Jeneral Prabowo dan Jeneral Luhut.

Di era pemerintahan BJ. Habibie (1998-1999), Timor Timur mengadakan referendum rakyat dan keputusannya majoriti rakyat mahukan mereka merdeka daripada Indonesia.

Maka berpisahlah Timor Timur dan ditukar nama kepada Timor Leste. Selepas 25 tahun, negara berjiran ini semakin erat hubungannya dan Indonesia menjadi rakan dagang terbesar Timor Leste dan Indonesia juga menyokong kuat pencalonan Timor Leste untuk menyertai ASEAN.

Selepas 25 tahun itu juga, Xanana bekas pemimpin gerila Timor Leste dan Prabowo bekas Jeneral tentera yang berperang dengan Xanana di era 1990-an lalu, kini sama sama menjadi Ketua Kerajaan dan saling berpelukan di majlis pertabalan Prabowo sebagai Presiden ahad lalu.

Malah wawancara khas di antara Xanana dan Jeneral (bersara) Luhut turut diadakan di TV Indonesia.

Kedua-duanya saling bergurau bahawa semasa mereka berperang dahulu, Xanana adalah pemimpin gerila yang hebat di medan perang, kata Luhut. Tetapi dibalas Xanana, bukan hebat perang, tetapi beliau hebat bersembunyi. Begitulah ceritanya.

Panjang lagi hendak diulas masa depan Indonesia, ASEAN dan dunia di era Prabowo. Cukup sekadar itu. Ada masa dan kerajinan kita sambung lagi di masa hadapan. Apapun jalan panjang Prabowo ini penuh ranjau dan duri, kawan dan lawan, kemudian bertukar menjadi kawan kembali.

Kesemuanya menggambarkan budaya Indonesia dan budaya asia yang sangat mendalam. Benci tidak selama-lamanya. Sayang tidak sesayang-sayangnya. Bermusuh tidak harus sehingga terputus. Paling penting, budi bahasa, kehormatan, kerendahan diri sesekali tidak menjatuhkan maruah manusia.

    Â