Kempen boikot beri kesan, jualan global Starbucks terus merosot

Selepas lebih setahun masyarakat global melancarkan boikot terhadap Starbucks, jualan global rangkaian kopi terkenal itu dilaporkan jatuh 7.0 peratus pada Julai hingga September.

Ia adalah penurunan suku ketiga berturut-turut dengan pendapatan sesaham syarikat itu turun 25 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu kepada 80 sen.

Hasil bersih disatukan turut merosot 3.0 peratus kepada AS$9.1 bilion, menurut laporan Harian Metro.

Untuk melaksanakan perubahan, Ketua Pegawai Eksekutif baharunya, Brian Niccol berkata Starbucks akan menggantung ramalan tahunannya untuk tahun fiskal akan datang.

Brian akui kemerosotan prestasi Starbucks disebabkan berlakunya penurunan trafik yang ketara membabitkan pelanggan yang datang ke rangkaian kopi berkenaan.
Ketua Pegawai Kewangan Starbucks Rachel Ruggeri berkata dalam kenyataan itu walaupun pelaburan meningkat dalam rantaian kopi, tiada perubahan ketara dilihat dalam penurunan trafik.

Ini menambah lagi beban kepada syarikat yang sudah pun bergelut dengan penurunan trafik.

Starbucks telah menghadapi bantahan dan kempen boikot di seluruh dunia kerana menyokong Israel, seperti yang ditunjukkan dalam keputusan kewangan syarikat untuk tiga suku terakhir.

Pada tahun lalu, rangkaian kopi itu terpaksa menurunkan unjuran jualan tahunannya untuk Oktober-Disember disebabkan kesan negatif terhadap jualan di Timur Tengah.

Manakala pendapatannya jatuh 2.0 peratus pada Januari-Mac dan jualan globalnya merosot 4.0 peratus, yang pertama sejak hujung tahun 2020.

Starbucks melaporkan bahawa jualan globalnya jatuh 3.0 peratus pada April-Jun.

BACA JUGA Chef terkenal Korea ralit nikmati nasi kandar Malaysia jadi perhatian