Antara ‘ketimbang’ dan ‘kepandaian tiruan’
Oleh NORMAN RADZUAN
Sering saya menulis jangan memperbodohkan orang Melayu. Orang Melayu sudah lemah daya pemikiran mereka dan kita jangan melemahkan lagi mereka. Kasihani bangsa kita.
Pandangan yang selalu saya lontarkan, pembangkang di negara kita seperti sengaja berniat jahat, kadang-kadang bodoh dan memperbodohkan rakyat serta sombong dengan ilmu kononnya merekalah yg terpaling Islam.
Baru-baru ini kecoh mengenai perkataan ‘ketimbang’ yang digunakan oleh Perdana Menteri Malaysia, Anwar Ibrahim.
Sebenarnya, PMX sejak era TPM 90-an lagi telah banyak menggunakan bahasa sastera dalam pembentangan belanjawannya. Yang malas membaca sahaja merasakan seolah-olah ia bahasa baru dari bulan.
‘Bebalisme’, ‘kekeldaian’ dan ‘kejadongan’ adalah istilah yang digunakan untuk menggambarkan satu kelompok yang mempunyai ciri-ciri yang sama iaitu ‘bodoh’.
Menurut Syeikh Nasr bin Muhammad bin Ibrahim as-Samarkandy antara ciri-ciri bodoh ialah mudah percaya dengan siapapun. Orang yang bijak tidak akan mudah percaya dengan sembarang orang walaupun berkopiah dan berjubah.
Termasuk dari ciri orang bodoh adalah mudah percaya dengan suatu informasi yang belum tentu kebenarannya tanpa melakukan tabayun terlebih dahulu. Itulah yang terjadi di negara kita fitnah-fitnah yang dilakukan ditelan bulat-bulat.
Siapa ‘kejadongan’ di Malaysia? Istilah ‘jadong’ diperkenalkan oleh Prof Syed Hussein Al Atas. Ia membawa maksud jahat, bodoh dan sombong.
Maksudnya, pemimpin atau masyarakat yang memiliki sikap ini pastinya tidak dapat memberikan sumbangan dan menjadi halangan kepada pembangunan sesebuah masyarakat dan negara.
Menurut Prof Syed Farid anak kepada Prof Syed Hussein Al Atas, beliau kecewa kerana institusi agama di Malaysia masih didominasi agamawan ‘jadong’ yang sering membuat kenyataan bodoh.
“Memperjadongi masyarakat atau berbuat jadong terhadapnya adalah berbuat jahat dengan sikap dan tindakan yang bodoh, tanpa kebodohan itu disedari pemimpin-pemimpin.
“Sebagai contoh, katakan ada seorang ahli politik yang menganggap satu golongan Islam tertentu sebagai sesat,” ujar Prof Syed Farid yang kini bertugas sebagai Profesor Universiti Kebangsaan Singapura.
Saya melihat pembangkang yang rata-rata mendominasi penyokongnya dari kalangan satu kaum sahaja iaitu Melayu telah mencandu agama untuk ‘menyesatkan’ pemikiran orang Melayu.
Golongan profesional yang tiada pendidikan agama tetapi mencari jalan pintas ke syurga selepas pencen adalah golongan yang mudah dikeldaikan.
Bagi golongan stim agama pula, selalunya mereka berpendidikan aliran agama. Ratib sedikit bab agama kononnya pemimpinnya wali, Habib atau kisah-kisah Imam Mahadi sudah cukup mengkhayalkan mereka.
Kecanduan akhirat ini tidak salah jika berilmu dan ada asas pendidikan yang baik. Ini kerana selalu berlaku salah guna kuasa hingga menyesatkan oleh ketua-ketua atasan yang tidak terlari dari keduniaan. Itulah yang berlaku kpd GISBH.
Namun, golongan stim agama kerana kecanduan tadi jika kita tersilap tulis, kita akan dituduh kafir kerana agama Islam telah dimiliki orang Melayu sahaja.
Malah, agama Islam yang benar hanya eksklusif untuk agamawan daripada satu kelompok sahaja yang boleh mengkafirkan sesiapa sahaja yang tidak mengikut jalur pemikiran mereka.
Bahaya ‘kejadongan’ ini kerana tujuan datangnya agama Islam dibawa oleh Rasulullah dalam rangka membetulkan ajaran-ajaran menyimpang yang dilakukan oleh golongan jahiliyah. Ertinya, Islam tidak pernah menghendaki manusia menjadi bodoh.
Contoh Firaun tidak mungkin mampu untuk menjadi sebegitu angkuh dan berkuasa sekiranya tidak mendapat dukungan dan sokongan daripada rakyat sendiri.
Firaun hanyalah seorang manusia biasa yang tidak punya apa-apa kelebihan luar biasa sekiranya mahu dibandingkan dengan sesiapa di zamannya. Dia tidak boleh terbang, tidak boleh berjalan di atas air dan lain-lain.
Namun oleh sebab dia mempunyai penyokongnya yang dungu, ditambah pula dengan tiada mahu tabayyun hingga mempercayai Firaun sebagai Tuhan, akhirnya Firaun bertambah angkuh.
Dalam Al Quran ada menyebut, “Lalu Firaun memperbodoh (menyesatkan) kaumnya, lalu mereka mengikutnya. Kerana mereka itu memang kaum yang fasiq.”
Perhatikan bagaimana Allah menyebut di dalam surah Az-Zukhruf seperti di atas, bagaimana rakyat Firaun secara sukarela akur kepada projek pembodohan raja mereka itu. Mengapa? kerana “…mereka itu memang kaum yang fasiq”!
Juga tawaran-tawaran lumayan yang diberikan Firaun kepada para pembesar dan pegawai-pegawainya untuk merasuah mereka agar terus kekal setia kepadanya.
Ini juga telah dikatakan oleh Anwar kepada Muhyiddin, You’re the ‘party hopping, scheme of things’ expert.’
Dalam satu cerita, bahaya bodoh seorang lelaki bertanya kepada Ibrahim al-Nazzam tentang batas kebodohan. Jawab beliau, “ Sesungguhnya kau telah bertanya kepadaku sesuatu yang tiada had baginya.”
Bererti kebodohan itu tiada batas, bodoh itu tidak bertepi. Tidak mengapa kita tidak pandai waktu dahulu kerana Rasulullah juga tidak tahu membaca tetapi belajarlah, rajin membaca, rajin berfikir dan duduklah dengan bijak pandai semoga kita mendapat tempiasnya.
Isunya adakah pemimpin pembangkang di negara ini mempunyai ciri-ciri persamaan dgn maksud ‘kejadongan’, ‘kekeldaian’ dan ‘bebalisme’ itu? Fikir fikirkan…jika ada jauhi mereka.
Anda sendiri boleh scan di pihak yang mana. Anda tidak faham maksud ‘ketimbang’ atau anda faham maksud ‘kepandaian tiruan’?
Jika anda faham ‘kepandaian tiruan’ maknanya anda telah di‘kejadongan’.
BACA JUGA Menteri, media Israel ‘kantoi’ tipu dunia, gambar lama dikitar semula