Kibar bendera China di Teluk Intan, rupanya perhimpunan disertai warga asing perlu ‘permintaan khas’
Pembabitan warga asing dalam sesuatu perhimpunan memerlukan ‘permintaan khas’ daripada banyak peringkat, termasuk kedutaan, imigresen dan sebagainya.
Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris, berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan lebih ramai peserta perarakan sempena Sambutan Guan Gong Sedunia di Teluk Intan, kelmarin akan dipanggil memberi keterangan.
Tindakan tersebut berikutan dakwaan bahawa perhimpunan yang mencetuskan kontroversi itu turut membabitkan warga asing dari Thailand dan Vietnam.
“Kita akan tengok juga untuk yang (mengibarkan) bendera lain (bendera Thailand dan Vietnam) kerana kenalah ada semua, bukan yang itu (bendera China) saja.
“Kita akan melihat klip video yang ada sebagai antara bahan bukti,” katanya kepada pemberita pada Festival Kesenian Islam Nasyid Polis Diraja Malaysia (PDRM) Perak di Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan, malam tadi.
Beliau memaklumkan pihaknya sudah merakam keterangan 17 individu warga China bagi membantu siasatan berhubung insiden pengibaran bendera China itu.
Jelas beliau, polis sudah mendapat perintah untuk siasat (OTI) daripada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya (TPR) berhubung kejadian yang tular itu.
Azizi turut mengesahkan pihaknya ada menerima notis penganjuran perarakan itu pada 2 Oktober lalu.
Bagaimanapun, katanya, penganjur didapati melanggar beberapa syarat notis, terutama apabila perarakan itu membabitkan warga asing dan mengibarkan bendera.
“Kita sudah memanggil penganjur dan 17 warga China yang membawa bendera China.
“Mereka (penganjur) memang ada menghantar notis pada 2 Oktober lalu dan kita sudah mengeluarkan syarat-syarat.
“Oleh kerana mereka melanggar syarat, maka hari ini kita mengambil tindakan. Bukan tidak ada notis tetapi kerana melanggar syarat notis yang kita berikan.
“Antara syarat notis yang dilanggar ialah mengibarkan bendera, kerana notis yang diberi tidak menyatakan mengenai bendera. Begitu juga apabila ia membabitkan warga asing,” tambahnya lagi.