MCMC, polis kenal pasti pihak hasut isu kibar bendera China
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) sedang meneliti dan bekerjasama dengan polis untuk mengenal pasti pihak yang mungkin cuba menghasut dalam isu pengibaran bendera China di Teluk Intan, Perak.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, berkata orang ramai perlu mengelak daripada mengeluarkan kenyataan berunsur hasutan mahupun mengaitkan isu agama, kaum dan institusi raja (3R) ekoran kejadian yang berlaku di Dataran Menara Condong Teluk Intan, kelmarin.
“Saya juga membaca sendiri komen bersifat 3R yang berlegar, sama ada di Facebook atau TikTok.
“Justeru, saya beri peringatan supaya kita elak daripada mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan dan bersifat 3R,” katanya pada sidang media di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, hari ini.
Tindakan 17 peserta warga China mengibarkan bendera republik itu ketika sambutan perarakan di Menara Condong, Teluk Intan sempena sambutan Guan Gong Sedunia baru-baru ini mengundang kecaman pembangkang terhadap kerajaan Madani.
Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria mendakwa ia berlaku ketika Pesta Tanglung Teluk Intan yang turut dihadiri Naib Pengerusi DAP, Nga Kor Ming dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Bedamar, Woo Kah Leon pada 13 September lalu.
Namun, kejadian terbabit disahkan bukan berlaku ketika Pesta Tanglung, sebaliknya pada Sambutan Guan Gong Sedunia yang berlangsung dari jam 8 hingga 11.30 malam kelmarin.
Malah, Kor Ming yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan menegaskan bahawa beliau menghadiri mesyuarat di Kuala Lumpur ketika sambutan itu berlangsung.
Tambahnya lagi, beliau dan Kah Leong tidak terbabit penganjuran sambutan dengan kira-kira 400 penonton yang melanggar syarat permit itu.
Sementara itu, penganjur perarakan berunsur keagamaan dan membabitkan kereta berhias tersebut sudah dipanggil untuk dirakam keterangan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Lambang Kebangsaan 1949 kerana mengibarkan bendera asing di tempat awam, dan Seksyen 4(1) Akta Perhimpunan Aman 2012 kerana melanggar syarat permit.
BACA JUGA Berang selepas ‘Iron Lady’ gegar KL tapi ramai sokong Dr Zaliha
Â