Utara Semenanjung dilanda hujan lebat, ribut petir

Kesemua negeri di utara Semenanjung dari Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak dijangka mengalami ribut petir, hujan lebat, dan angin kencang sehingga jam 5 petang ini.

Cuaca sama diramal berlaku di beberapa kawasan di Kelantan (Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Jeli, Tanah Merah, Machang, Kuala Krai, dan Gua Musang); serta Pahang (Cameron Highlands, Lipis, Raub, dan Bentong).

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menerusi kenyataan dikeluarkan turut memaklumkan keadaan cuaca buruk itu juga dijangka melanda Labuan, Putrajaya, Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, dan Melaka.

Sementara itu di Sabah, kawasan yang terjejas termasuk kawasan pedalaman (Kuala Penyu) dan Pantai Barat (Papar, Putatan, Penampang, Kota Kinabalu, Tuaran, dan Kota Belud).

Di Sarawak, keadaan cuaca serupa diramal berlaku di Sibu, Kapit (Song dan Kapit), Bintulu, dan Miri (Subis, Miri, dan Marudi).

“Amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm/jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.

“Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran,” menurut MetMalaysia lagi.

BACA JUGA Tular rakyat Iran persenda serangan Israel

Â