KKM sentiasa semak khidmat kecemasan tempatan, termasuk di KK Tanjong Malim
Kementerian Kesihatan Malahysia (KKM) secara berterusan menyelaraskan perkhidmatan kecemasan di klinik-klinik luar bandar termasuk di Klinik Kesihatan Tanjong Malim.
Menurut wakil pejabat Menteri Kesihatan, penyelarasan operasi ini akan disemak dari masa ke semasa.
Bagaimanapun beliau menjelaskan, dasar perkhidmatan kecemasan di KK Tanjong Malim khasnya dibuat berdasarkan kajian yang telah dibuat sebelum ini.
“Libat urus telah dibuat dengan semua pengamal perubatan KKM dan swasta sebelum keputusan dibuat
“Dasar ini digubal berdasarkan bukti menyeluruh,” katanya kepada Harapandaily.
Beliau mengulas laporan sebuah portal yang pro pembangkang mengenai perkhidmatan Klinik Kesihatan (KK) Tanjong Malim yang dipertikai oleh sesetengah pihak di sana.
Laporan itu dibuat berdasarkan kenyataan aktivis sosial Mythreyar Mutturamalinggam yang sebelum ini pernah membuat mogok lapar di Kuala Lumpur.
Beliau mengumpulkan tandatangan penduduk sekitar bagi membantah keputusan klinik kesihatan berkenaan yang mengubah suai perkhidmatan mereka.
Pada 1 Oktober lalu, Pengarah Kesihatan Perak telah mengeluarkan kenyataan mengenai perkara ini.
Menurut kenyataan itu, KK Tanjong Malim beroperasi di bangunan asal Hospital Tanjong Malim yang telah berpindah sepenuhnya ke Hospital Slim River mulai tahun 2001.
Bagaimanapun dua jenis perkhidmatan asal masih di kekalkan atas keperluan semasa iaitu Unit Kecemasan 24 jam secara syif dan Hemodialisis.
Namun mulai 1 Ogos 2024, perkhidmatan kecemasan di klinik ini telah diseragamkan seperti perkhidmatan KK luar bandar yang lain di seluruh Malaysia iaitu memberikan perkhidmatan kecemasan semasa waktu pejabat iaitu dari 8 pagi hingga 5 petang dan dari 5 petang ke 8 pagi secara pasif.
Ia didakwa telah menjejaskan jangkaan orang ramai yang selama ini menikmati perkhidmatan kecemasan 24 jam di sini.
Menurut Dr Feisul Idzwan Mustapha, Pengarah Kesihatan Perak, keputusan ini tidak menjejaskan perkhidmatan kecemasan kerana ia masih beroperasi 24 jam sehari walaupun secara pasif di mana orang ramai boleh terus berhubung melalui butang kecemasan atau menelefon pegawai bertugas seperti di papan notis klinik kesihatan berkenaan.
Di samping itu, Jabatan Kecemasan Hospital Slim River yang mengambil alih tempat hospital ini juga mempunyai kelengkapan dan kepakaran yang lebih mapan, kerana kakitangannya mempunyai kepakaran terkini dalam perubatan kecemasan.
Orang ramai juga dinasihatkan untuk menghubungi talian MERS 999 untuk sebarang situasi kecemasan.
Â