Nak tahu definisi T15? Tunggu sebulan ya…
Apa maksud T15? Definisi T15 sedang diperhalusi oleh Kementerian Ekonomi dengan kerjasama Kementerian Kewangan sebelum ia dibentang kepada Jemaah Menteri, kata Menteri Ekonomi Rafizi Ramli.
Beliau berkata perinciannya akan dimuktamadkan dalam tempoh sebulan perlu untuk memberi satu kerangka yang lebih tepat berhubung kumpulan T15.
Ia akan berdasarkan kawasan dan bukannya definasi pentadbiran terdahulu.
“Ia bukan satu garis mudah untuk seluruh negara kerana perbelanjaan berbeza dan mutu kehidupan berbeza mengikut kawasan,” kata Rafizi.
“Jika kita guna definisi am untuk seluruh negara, akan berlaku ketidakadilan.
“Seseorang yang berpendapatan RM15,000 di Kuala Lumpur, kawasan mahal, tidak akan dianggap kaya berbanding seseorang yang berpendapatan RM15,000 di Gua Musang.
“Jadi, penentuannya adalah berdasarkan kawasan.”
Rafizi berkata demikian setelah menghadiri sesi libat urus dengan pemegang taruh Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) dengan kerajaan Melaka.
Menurutnya, asas definisi T15 akan berdasarkan pendapatan bersih yang digunakan oleh isi rumah dan ukuran berdasarkan kos kehidupan asas.
BACA JUGA: Lepas kena tegur DAP, pemimpin Pas ini kena basuh dengan PKR pula