PH Wilayah dah lama saran Akta Ibu Kota dipinda

Cadangan untuk meminda Akta Ibu Kota Persekutuan 1960 bukanlah cadangan DAP semata-mata, sebaliknya Pakatan Harapan Wilayah Persekutuan telah terlebih dahulu mengutarakan cadangan tersebut.

Pengerusi AMANAH Wilayah Persekutuan, Khalid Samad berkata, beliau tidak mahu isu ini dijadikan modal perkauman dengan menuding kepada DAP kerana PH WP juga telah mengutarakan cadangan sama pada Julai lalu.

Beliau melihat Akta Ibu Kota masih kurang sempurna jika dibandingkan dengan Akta Kerajaan Tempatan 1975.

Untuk rekod, pihak berkuasa tempatan di seluruh negara menggunakan Akta Kerajaan Tempatan iaitu undang-undang untuk menetapkan dasar bagi semua PBT.

Manakala Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang mentadbir Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pula menggunakan Akta Ibu Kota.

Dalam Akta Kerajaan Tempatan, terdapat Ahli Majlis lantikan dalam kalangan warga negeri masing-masing, sebaliknya Akta Ibu Kota tidak mempunyai Ahli Majlis lantikan seperti di negeri-negeri lain.

“Ahli majlis ada dalam struktur Akta Kerajaan Tempatan dan di semua tempat kecuali di DBKL kerana Akta Ibu Kota tak ada ahli majlis.

“Bila tak ada, warga kota sendiri tidak ada hak dan kedudukan untuk menyampaikan pandangan dan pendirian di dalam mesyuarat DBKL.

“Kalau ikut prinsip demokrasi, kalau kamu ambil cukai daripada kami mesti kami diberikan hak untuk bersuara.

“Akta Ibu Kota kurang baik dan kurang lengkap berbanding Akta Kerajaan Tempatan, maka usaha ini nak selarikan akta dua ini,” katanya dalam sidang media hari ini.

Beliau juga menepis dakwaan segelintir pemimpin politik yang mendakwa cadangan pindaan akta tersebut sebagai usaha masyarakat bukan Melayu untuk kuasai Kuala Lumpur.

Terdahulu pada Konvensyen DAP Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2024, Naib Presidennya Teresa Kok mencadangkan pindaan akta itu bagi membolehkan Ahli Majlis dilantik sama seperti dilaksanakan oleh PBT seluruh negara.

BACA JUGA Lepas kena tegur DAP, pemimpin Pas ini kena basuh dengan PKR pula

Â