Syahredzan tegur Pas jangan jadi batu api

Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan meminta Pas untuk tidak menangguk di air yang keruh dengan menghasut perpecahan rakyat.

Beliau merujuk kepada ucapan Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria dalam satu perhimpunan yang menyebut ungkapan “matanya macam ini, kulit macam ini, darah dia macam kita semua ni kita kena bersatu”.

Syahredzan berkata,  ucapan itu jelas ungkapan yang menyemai benih kebencian dan menghasut perpecahan dengan mengambil kesempatan terhadap insiden pengibaran bendera China di Teluk Intan baru-baru ini.

“Sebelum ini, Razman telah jelas memfitnah Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming dengan mengaitkannya dengan insiden tersebut walaupun sebenarnya Nga berada di Kuala Lumpur.

“Jelas bahawa Razman dan Pas hanya menangguk di air yang keruh dengan terus membakar sentimen walaupun pihak polis sedang menyiasat insiden tersebut,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Beliau mengingatkan Razman dan Pas bahawa Malaysia ini milik kita bersama, dan walau apapun perbezaan raut wajah dan warna kulit, semua adalah anak pertiwi yang dicintai.

Katanya, adalah lebih baik sekiranya Razman dan Pas menjadi pembangkang yang bertanggungjawab dan konstruktif di Perak dan di peringkat Persekutuan, bukannya menjadi batu api kepada perpecahan rakyat.

“Malangnya, Pas dan PN sudah terbukti tidak berupaya untuk menjadi ejen perpaduan rakyat, malah terus memainkan isu kaum dan agama demi kepentingan politik mereka,” katanya lagi.

BACA JUGA Dipersenda kerana ‘ketimbang’, ini jawapan bersahaja Anwar kepada pembangkang