Pentingnya 85 peratus rakyat bawahan, PM ‘sekolahkan’ MP Pas

Perdana Menteri hari ini menegaskan bahawa langkah penyasaran subsidi petrol RON95 pada pertengahan tahun depan adalah demi manfaat kepada 85 peratus golongan bawahan.

Datuk Seri Anwar berkata, beliau mengambil maklum takrifan sebenar pendapatan golongan tertinggi T15, terutamanya pandangan pihak tertentu bahawa pendapatan isi rumah RM13,000 sebulan tidak sepatutnya termasuk dalam kumpulan berkenaan.

Menurutnya, nilai ambang itu merupakan penetapan yang dibuat oleh pihak Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) di peringkat awal.

Dalam masa sama, kerajaan, katanya, secara prinsip bersetuju nilai tersebut perlu dikaji agar bersesuaian dengan realiti semasa.

”Saya sedikit runsing kerana, kita ini (seolah-olah) tak banyak bicara soal pertahankan kepentingan golongan bawahan. Apakah 85 peratus rakyat bawahan itu tak penting?

“… saya dengar tentang perbincangan Kementerian Ekonomi, Kewangan (MOF) dan DOSM sekarang tentang penetapan RM13,000. Tetapi kita fikir nilai itu agak rendah,” ujarnya.

Sehubungan itu, Anwar menempelak dakwaan pembangkang kononnya kerajaan tidak mempunyai tatakelola memandangkan rakyat bawahan tidak terkesan dengan langkah penyasaran subsidi petrol RON95.

“Tatakelola dalam hal ini tak berbangkit kerana 85 peratus rakyat tidak terlibat dengan kenaikan harga RON95.

“Harga pasaran tanpa subsidi kepada T15 yang akan dikira semula dan kepada warga asing.

“Sebab itu kadang-kadang pandangan kita, kritikan jangan hanya dilontar secara semberono atau tanpa fakta.

“(Tuduhan) kontrak subsidi hendak diberi Ahli Parlimen Bukit Gantang umpamanya tak benar.

“Dengar dari mana? Tiktok? WhatsApp? Belajar mana ni? (Platform) X?

“Tak rujuk fakta, tapi kata baca Al-Quran, rujukan sanad di mana?” bidas Perdana Menteri ketika menjawab soalan tambahan Nik Muhammad Zawawi Salleh (PN-Pasir Puteh).

Terdahulu, pemimpin Pas berkenaan ingin mengetahui definisi sebenar T15 dan mendakwa terdapat pelbagai tafsiran berkenaan T15.

Mengulas lanjut, Anwar menegaskan bahawa kerajaan Madani diterajuinya tidak akan sama sekali bertolak-ansur dalam soal tatakelola.

“Tatakelola dalam soal agihan ini untuk 85 peratus tetap kita pertahankan.

“Jangan pusing, jangan putar, jangan buat tuduhan melulu di dalam dewan ini,” tegas Perdana Menteri lagi.

Minggu lalu, Anwar semasa membentangkan Belanjawan 2025 berkata, kerajaan akan melaksanakan penyasaran subsidi RON95 pada pertengahan tahun depan, dengan kategori T15 tidak akan menikmati subsidi berkenaan.

BACA JUGA Jumlah hutang isi rumah meningkat kepada RM1.57 trilion, ini langkah kerajaan tangani risiko