SG4 makin lesu, Kerajaan Madani terus bela kemajuan Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis

Oleh FAIZ FADZIL

Tatkala SG4 semakin lesu setelah tiada sebarang pelaburan antarabangsa diumumkan sejak pelancarannya setahun lalu, pelan The Greater Kedah juga berisiko menjadi retorik politik baharu Perikatan Nasional (PN).

Dalam majlis pelancaran pelan The Greater Kedah baru-baru ini, agenda politik Menteri Besar Kedah jelas kelihatan apabila beliau menamakan isu Sungai Muda salah satu “perjuangan” Greater Kedah, sepertimana dilaporkan oleh Harakahdaily.

Sanusi terus memainkan sentimen bahawa sumber air Kedah diambil secara percuma.

Hakikatnya, Pulau Pinang adalah pemilik bersama Sungai Muda untuk 30 km terakhir sungai itu dan justeru, hanya menggunakan sumber air yang melalui di tanahnya berdasarkan prinsip Riparian.

SG4 sudah hampir 14 bulan berlalu sejak diumumkan dan walaupun PN mendakwa komitmen pelaburan sudah diterima daripada Korea Selatan, Jepun dan China, namun tiada sebarang nama pelabur diumumkan.

Kerajaan Madani diterajui Anwar Ibrahim terus menambahbaik sosioekonomi empat negeri di bawah PN.

Jika benar wujud pelaburan itu, adakah PN telah mencapai nilai pelaburan tersebut tanpa sebarang bantuan agensi Persekutuan seperti MIDA?

Hakikatnya, tanpa MIDA, negeri seperti Kedah tidak akan menikmati majoriti pelaburan asingnya sekarang.

MIDA telah membawa masuk pelaburan berbilion ringgit ke dalam empat negeri di bawah pentadbiran PN.

Misalnya, dalam enam bulan pertama 2024, pelaburan sebanyak RM32 bilion telah dibawa masuk ke Kedah.

Ini menunjukkan Kerajaan Madani tidak mengamalkan sikap pilih kasih dengan menjunjung prinsip federalisme di mana rakyat di empat negeri ini berhak menikmati pembangunan secara seimbang.

Bukan itu sahaja, bahkan dalam Belanjawan 2025 baru-baru ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim terus mengangkat kebajikan dan kemajuan Perlis, Kelantan, Terengganu dan Kedah.

Belanjawan 2025 menyebut akan mewujudkan perkumpulan ekonomi (economic cluster) mengikut keistimewaan negeri seperti industri kimia khusus di Pahang dan Terengganu, serta tenaga boleh baharu di Perlis dan Sabah.

Bagi mengurangkan jurang ekonomi antara wilayah, insentif cukai pendapatan pada kadar istimewa ditawarkan bagi pelaburan dalam 21 sektor ekonomi di negeri seperti Perlis, Kedah, Kelantan, Terengganu Sabah dan Sarawak, tertakluk kepada keberhasilan limpahan ekonomi.

Belanjawan 2025 turut menyebut mengenai projek hab hidrogen Terengganu yang akan dilaksanakan bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara.

Walaupun PN cuba menyemai benih anti-federalisme menerusi retorik SG4, Kerajaan Madani terus mencari jalan menambahbaik sosioekonomi Perlis, Kedah, Terengganu dan Kelantan tanpa mengira agenda politik.

Inilah prinsip keadilan yang dituntut Islam. Pelaksanaan mengatasi kata-kata.

*FAIZ FADZIL merupakan Setiausaha Agung AMANAH.

BACA JUGA Bagaimana sesuatu kesalahan boleh diklasifikasi sebagai kesalahan 3R? Menteri jelaskan