Tuduhan salahguna kedudukan, pengubahan wang haram sah – Hakim

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah memutuskan bahawa empat tuduhan menyalahgunakan kedudukan untuk mendapatkan suapan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan 21 tuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM2.3 bilion yang dihadapi Datuk Seri Najib Razak adalah sah dan tidak cacat.

“Saya dapati pertuduhan itu memenuhi semua kriteria undang-undang di bawah Kanun Tatacara Jenayah,” kata Datuk Sequerah.

Beliau turut menyangkal hujahan peguam bela Najib yang mendakwa bahawa tuduhan tersebut adalah kabur dan oleh itu mantan perdana menteri tidak dikelirukan atau tidak diprejudis.

Beliau turut berkata bahawa saksi pendakwaan tidak mempunyai motif dalam memberi keterangan kepada mahkamah.

Individu yang disebut termasuk bekas gabenor Bank Negara Malaysia Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, bekas peguam 1MDB Jasmine Loo Ai Swan, bekas pembantu Najib Datuk Amhari Efendi Nazarudin, dan bekas ketua eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi.

Sequerah berkata, pihak pembelaan berhujah bekas perdana menteri itu dijadikan kambing hitam dalam penipuan 1MDB yang lebih besar dan didalangi oleh orang lain.

“Amhari dan Jasmine mengaku menerima dana daripada Low Taek Jho manakala Shahrol Aral menerima gaji dan bonus.

“Zeti dan ahli keluarganya turut disebut, dengan cadangan motif tersembunyi.

“Walaupun terdapat dakwaan terhadap mereka, mahkamah menegaskan saksi-saksi ini tidak berdepan tindakan undang-undang yang menjejaskan pembabitan Najib.

“Memandangkan semua bukti, mahkamah menyatakan bahawa saksi ini tidak dibicarakan, dan oleh itu analisis terperinci mengenai sikap mereka tidak diperlukan,” katanya.

Ada kes prima facie

Najib berdepan 25 tuduhan berhubung salahguna dana 1MDB berjumlah RM2.27 billion.

Empat tuduhan adalah tuduhan salahguna kuasa dan didakwa di bawah seksyen 23 Akta SPRM 2009 dan 21 tuduhan pengubahan wang haram.

Sequerah juga memutuskan bahawa pihak pendakwaan telah membuktikan kes prima facie untuk tuduhan salahguna kuasa ke atas Najib

“Setelah membuat penilaian maksimum, saya mendapati pihak pendakwaan telah membuktikan tuduhan dalam kes ini,” kata beliau.

Sejumlah 50 orang saksi memberi keterangan dalam kes ini yang berlangsung selama 253 hari.

Sementara itu peguam bela Najib, Datuk Seri Mohamad Shafee Abdullah berkata anakguamnya akan memberikan keterangan bersumpah dalam usaha membela dirinya.

Pendengaran bela diri Najib akan bermula pada 2 Disember.