Benarkah fatwa jadi satu kuasa legislatif?
Oleh DR ZULQARNAIN LUKMAN
Hamid Sultan Abu Backer, seorang bekas hakim memberikan pandangan bahawa fatwa adalah satu pandangan yang tidak mengikat yang diberikan oleh seorang ulama berkaitan undang-undang Islam dan amalannya.
Katanya, fatwa tidak pernah diniatkan untuk dijadikan satu perkara yang mempunyai impak perundangan yang akhirnya akan berakhir dengan satu hukuman.
Katanya lagi, RUU Mufti tersebut akan menukar keadaan itu dan akan menjadikan fatwa sebagai satu undang-undang yang boleh dikuatkuasakan dan oleh itu menjadi satu serangan langsung terhadap prinsip Perlembagaan Persekutuan.
Seterusnya, beliau menyatakan seksyen 3 RUU Mufti menyatakan seorang mufti akan dilantik oleh YDPA atas nasihat Menteri.
Ini bermakna akhirnya Kabinet yang diketuai oleh Perdana Menteri yang akan memutuskan siapakah yang akan dilantik sebagai mufti.
Menurutnya lagi, dalam RUU Mufti ini seorang mufti akan mengetuai Jawatankuasa Fatwa dan diberikan kuasa untuk mengeluarkan fatwa di bawah arahan YDPA, atau atas kehendak mufti itu sendiri atau atas permintaan mana-mana orang.
Jadi, apabila fatwa itu diberikan perkenan oleh YDPA ianya akan diwartakan dan akan mengikat kesemua orang Islam di Wilayah Persekutuan dan mestilah diiktiraf oleh semua mahkamah.
Hujahnya lagi, dengan cara itu RUU Mufti ini akan menyelinap masuk ke dalam doktrin ketertinggian Perlembagaan (constitutional supremacy).
Ini akan menghakis prinsip asas sesuatu Perlembagaan yang memberikan kuasa pentadbiran pemerintahan kepada tiga badan utama iaitu eksekutif, legislatif dan kehakiman.
Walau bagaimanapun, beliau mengakui bahawa perkara unik mengenai Perlembagaan Malaysia adalah wujudnya Majlis Raja-Raja sebagai kuasa keempat yang juga mempunyai pengaruh akhir dalam pentadbiran dan kedaulatan undang-undang.
Sebagai penegasan, beliau menyatakan mufti dan Jawatankuasa Fatwa tidak pernah wujud sebagai sebahagian daripada kerangka pentadbiran kerajaan.
Namun, dengan adanya RUU Mufti ini beliau menghujahkan bahawa RUU itu akan memberikan kuasa kepada mufti untuk menggubal undang-undang yang akhirnya menjadikan fatwa itu sebagai satu undang-undang dan akan mengatasi proses penggubalan yang sepatutnya hanya diberikan kepada Parlimen.
Tambah menyakitkan baginya adalah bahawa seksyen 11 menghendaki mahkamah untuk mengiktiraf fatwa tersebut dan dengan ini akan melenyapkan proses semak dan imbang terhadap apa-apa undang-undang yang zalim dan menekan rakyat.
Sebab itulah baginya, RUU Mufti ini akan menukarkan fatwa itu dan menjadikannya sebagai satu undang-undang.
Ulasan:
Kedudukan fatwa dalam RUU Mufti ini adalah sama seperti kedudukan fatwa dalam kerangka undang-undang semasa iaitu dalam Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 (“Akta 505”).
Dalam seksyen 34 Akta 505 menyatakan seperti yang berikut:
(1) Mufti hendaklah, atas perintah Yang di-Pertuan Agong, dan bolehlah, atas kehendaknya sendiri atau atas permintaan mana-mana orang yang dibuat melalui surat yang ditujukan kepada Mufti, membuat dan menyiarkan dalam Warta suatu fatwa atau pendapat atas apa-apa persoalan yang belum diselesaikan atau yang menimbulkan pertikaian mengenai atau berhubungan dengan Hukum Syarak.
(2) Tiada pernyataan yang dibuat oleh Mufti boleh diambil sebagai fatwa melainkan jika dan sehingga pernyataan itu disiarkan dalam Warta menurut subseksyen (1).
(3) Apabila disiarkan dalam Warta, sesuatu fatwa hendaklah mengikat tiap-tiap orang islam yang bermastautin di Wilayah-Wilayah Persekutuan sebagai ajaran agamanya dan hendaklah menjadi kewajipannya di sisi agama untuk mematuhi dan berpegang dengan fatwa itu melainkan jika dia dibenarkan oleh Hukum Syarak tidak mengikut fatwa itu dalam perkara-perkara amalan, kepercayaan, atau pendapat peribadi.
(4) Sesuatu fatwa hendaklah diiktiraf oleh semua Mahkamah dalam Wilayah-Wilayah Persekutuan sebagai autoritatif mengenai semua perkara yang dinyatakan di dalamnya.
Oleh itu, jika dilihat hujah Hamid Sultan di atas, sebenarnya kedudukan yang dihuraikan oleh Hamid Sultan itu sudah terangkum dalam seksyen 34 Akta 505 seperti yang terpakai sekarang.
Mengapa pula beliau tidak menyebut bahawa kerangka itu sudah wujud dalam undang-undang sedia ada?
Menapakah beliau tidak mengatakan kedudukan mufti sekarang sudah menceroboh ruang penggubalan undang-undang yang diberikan kepada Parlimen?
Mengapakah beliau tidak mengganggap fatwa sekarang telah menyelinap masuk dalam doktrin ketertinggian Perlembagaan dan akhirnya menjejaskan tiga badan Perlembagaan, eksekutif, legislatif dan kehakiman?
Adakah beliau tidak sempat menyemak seksyen 34 itu sebelum memberikan ulasan terhadap RUU Mufti ini?
RUU Mufti ini tidak membawa sebarang pembaharuan radikal terhadap proses, kesan atau implikasi terhadap sesuatu fatwa.
Undang-undang sedia ada pun sudah meletakkan fatwa sebagai sesuatu pendapat yang akan mengikat orang Islam atau mahkamah jika ianya diwartakan.
Namun, jika fatwa itu tidak diwartakan maka ianya akan kekal sebagai satu pandangan ulama. Sekaligus, dengan ini hujah yang dikemukakan oleh Hamid Sultan bahawa kononnya fatwa ini menjejaskan doktrin ketertinggian Perlembagaan adalah tidak benar dan songsang.
Keduanya, fatwa ini sendiri adalah hanya berkaitan hukum Syarak. Hal hukum Syarak tidak pernah dibahaskan dalam Parlimen.
Hal hukum Syarak hanya dibahaskan di kalangan mereka yang mahir dalam soal hukum. Hal hukum Syarak ini pun tidak boleh dibahaskan oleh orang yang sekadar memiliki ilmu picisan yang orang kata hanya berstatus lebai kampung.
Jika ada pun pihak yang tidak berpuas hati dengan sesuatu fatwa maka cabaran masih boleh dibuat di Mahkamah Syariah.
Malah, dalam banyak hal dan keadaan, mahkamah sivil tidak pernah membuat keputusan berkaitan dengan Hukum Syarak khasnya selepas pindaan kepada Per. 121(1A) telah diluluskan oleh Parlimen pada 1988.
Contohnya dalam kes SIS Forum (Malaysia) lwn Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor [2023] 5 MLRA 181, Mahkamah Rayuan menyatakan:
[840 Alasannya, pembuatan sesuatu Fatwa adalah berdasarkan hukum hakam bagi orang Islam berpaksikan Hukum Syarak yang sememangnya berada dalam kepakaran Mahkamah Syariah dan bukannya Mahkamah Sivil. Sehubungan dengan itu, pembahagian bidang kuasa yang telah diperuntukkan di bawah Perkara 121(1 A) Perlembagaan Persekutuan perlulah dihormati dan dipatuhi. Kami mendapati bahawa tidak ada kewajarannya untuk Mahkamah Sivil campur tangan menyemak Warta Fatwa tersebut. eLaw Citation: [2023] 5 MLRA 181.
Semasa kes ini dibuat rayuan ke Mahkamah Persekutuan, sekali lagi Mahkamah Persekutuan menyatakan:
[79] Thus, simply put, if the vires of any fatwa or the conduct of the Fatwa Committee is challenged purely on the basis of constitutional or statutory compliance, then it is a matter for the Civil Courts. If the question pertains to the matters of the faith or the validity of the contents of the fatwa tested against the grain of Islamic law, then the appropriate forum for review or compliance is the Syariah Courts. eLaw Citation: [2022] 3 MLRA 219.
Berkaitan dengan pelantikan mufti yang dianggap sebagai satu perlantikan politik oleh Perdana Menteri atau Kabinet itu adalah satu tanggapan yang silap.
Seksyen 3(1) RUU Mufti menyatakan walaupun YDPA akan melantik mufti atas nasihat Menteri namun Menteri harus berunding terlebih dahulu dengan MAIWP.
Menteri tidak boleh melantik seorang mufti itu sesuka hati menurut kehendaknya sahaja kerana subseksyen 3(2) telah meletakkan tiga syarat utama bagi kelayakan menjadi mufti.
Seorang YDPA juga tidak akan membuta-tuli melantik mana-mana nama yang disuakan kepadanya.
Meskipun, secara umumnya menurut Perlembagaan YDPA sebagai raja berperlembagaan terikat untuk mematuhi nasihat jemaah menteri tetapi dari segi amalannya YDPA bukanlah satu ‘rubber stamp’.
Masih ada ruang kepada YDPA untuk tidak bersetuju dengan sesuatu cadangan dan meminta supaya satu cadangan lain dikemukakan kepadanya. Hal ini masih lagi dalam ruang lingkup ‘nasihat jemaah menteri kepada YDPA’.
Justeru, walaupun nasib RUU Mufti ini masih lagi tidak diketahui sama ada akan dibentangkan atau tidak dalam sesi Parlimen kali ini, namun kewujudan RUU Mufti ini sebenarnya tidak boleh menafikan bahawa ianya akan memberikan pengukuhan kepada Islam sebagai agama Persekutuan.
BACA JUGA Tangkapan SPRM bakal dedahkan skandal kenapa hasil padi petani tidak seberapa