Cukuplah Pas isu bendera China, Malaysia diejek oleh tukang kempen calon presiden Amerika tu
Para pemimpin dan penyokong Pas diajak mengalih isu dari bendera China kepada dakwaan seorang penyokong Donald Trump dalam kempen presiden Amerika yang mendakwa Kamala Harris anak kelahiran Samoa-Malaysia yang mempunyai IQ yang rendah.
Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok dalam facebook beliau membuat ajakan ini selepas pengulas politik Amerikan, Tucker Carlson yang disifatkan merendahkan nama Malaysia dengan dakwaan tersebut.
Carlson membuat kenyataan tersebut pada hari Ahad lalu (27 Oktober) di acara kempen Trump di Madison Square Garden, New York.
“Pemimpin PAS yang sibuk dengan isu bendera China diseru mengalihkan perhatian mereka kepada isu nama Malaysia direndahkan oleh ahli politik dalam kempen politik Amerika Syarikat,” tulis Teresa dalam facebook beliau.
Dalam kenyataannya, Teresa menuntut Carlson memohon maaf di atas tindakannya mengheret nama Malaysia dalam kempennya menyokong calon Republikan itu.
“Saya rasa kesal sekarang pengulas politik Republikan AS, Tucker Carlson menggunakan kewarganegaraan dan jantina untuk menyerang Kamala, dan mengheret Malaysia dalam ucapannya.
“Saya menyeru pengulas politik Republikan, Tucker Carlson, untuk menarik balik kenyataan yang melibatkan Malaysia dalam perjuangan politik AS dan memohon maaf kepada Malaysia,” katanya.
“Saya juga ingin menyeru pemimpin PAS yang sibuk dengan isu bendera China mengalihkan perhatian mereka kepada isu nama baik Malaysia direndahkan oleh ahli politik dalam kempen politik AS,” tambahnya, merujuk kontroversi pengibaran bendera China di festival kebudayaan Guan Gong di Teluk Intan dan Johor Bahru.
Carlson dilaporkan mengejek Harris pada perhimpunan Republikan di Madison Square Garden, New York, dengan melabelnya sebagai “orang Samoa-Malaysia” dan “bekas pendakwa raya California dengan IQ rendah”.
Padahal Kamala Harris, naib presiden AS sekarang, mempunyai bapa berasal dari Jamaica dan ibunya pula keturunan India.
Sebelum ini, menteri luar Mohamad Hasan mencuit kenyataan berkenaan dengan menjemput Harris untuk “balik kampung” ke Malaysia jika dipilih sebagai presiden AS seterusnya.
Dalam catatan Facebook menjawab dakwaan Carlson bahawa Harris adalah sebahagian rakyat Malaysia, Mohamad menyindir bahawa dia harus mencuba beberapa “nasi goreng USA”, merujuk kepada hidangan nasi goreng yang tidak mempunyai kaitan sebenar dengan AS.