Fahmi dedah sikap pihak Meta isu scammer, pedofilia
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil memberitahu bahawa pihak Meta meminta lebih banyak masa untuk membanteras aktiviti kumpulan jenayah di platform media sosial termasuk scammer dan pedofilia.
Tegasnya, kerajaan tidak boleh berkompromi dalam isu keselamatan rakyat, terutama kanak kanak dan keluarga di media sosial yang semakin berleluasa.
“… sejujurnya, kita (kerajaan) tidak boleh memberikan lebih masa.
“Kita menerima aduan daripada orang awam mengenai kewujudan kumpulan pedofilia dalam Facebook, yang jumlahnya telah mencecah puluhan ribu orang kerana beroperasi bertahun-tahun lamanya.
“Jadi, saya tidak faham mengapa mereka (Meta) mahu mempertahankan kumpulan scammer dan pedofilia ini,” katanya ketika ditemui media di Majlis Rumah Terbuka Deepavali MADANI 2024 di Sentul, Kuala Lumpur hari ini.
Beliau mengulas pertemuannya bersama pihak Meta semalam, di mana beliau menegur syarikat tersebut kerana masih gagal menangani jenayah pedofilia dan pengantunan kanak-kanak (sexual grooming), khususnya di platform Facebook.
Lapor Bernama hari ini, Fahmi berkata perbincangan mengenai langkah menangani jenayah pedofilia dan pengantunan kanak-kanak telah dilakukan sejak awal tahun.
Fahmi yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan memberitahu, beliau sendiri telah pergi ke Singapura untuk bertemu dengan pihak Meta.
“Untuk mengatakan kita tidak pernah berbincang dengan mereka adalah satu penipuan.
“Kita sudah berbincang, dan saya telah turun ke Singapura untuk bertemu mereka, tetapi mereka memberikan pelbagai alasan.
“Bagi saya, keselamatan rakyat Malaysia, terutama kanak-kanak dan keluarga, tidak boleh kita kompromi dalam hal ini,” kata Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai itu lagi.
Untuk rekod, semua perkhidmatan media sosial dan pesanan internet yang ketika ini mempunyai sekurang-kurangnya lapan juta pengguna berdaftar di Malaysia, perlu memohon Lesen Kelas Pemberian Perkhidmatan Aplikasi di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).
Langkah itu akan dikuat kuasa bermula 1 Januari 2025 selaras keputusan Jemaah Menteri.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menerusi kenyataan 27 Julai lalu berkata, kegagalan mana-mana perkhidmatan memperoleh lesen selepas tarikh kuat kuasa itu adalah satu kesalahan dan tindakan perundangan sewajarnya boleh diambil mengikut Akta 588.
BACA JUGA Tangkapan SPRM bakal dedahkan skandal kenapa hasil padi petani tidak seberapa