Sambut Deepavali dengan meriah, semarak perpaduan tingkatkan ihsan
Datuk Seri Anwar Ibrahim mewakili seluruh jentera kerajaan dan rakyat mengucapkan selamat menyambut Deepavali kepada semua penganut Hindu.
Perdana Menteri mengajak rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama untuk sama-sama meraikan perayaan Deepavali dengan meriah dan kegembiraan di seluruh negara.
Beliau menyifatkan Deepavali menandakan dari sudut sejarah dan pengajaran ialah kemenangan dari kezaliman dan kegelapan kepada cahaya kebenaran dan keadilan.
“Mudah-mudahan kita sambut dengan meriah dalam kalangan rakyat Malaysia dari pelbagai kaum dan agama, sama-sama sambut kemeriahan dan kegembiraan.
“Terima kasih, nandri,” ucap Perdana Menteri dalam video pendek sempena sambutan Deepavali.
Menerusi hantaran di media sosial, Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun berkata, Deepavali disambut dengan penuh kegembiraan dan semangat sebagai ‘pesta cahaya,’ yang melambangkan kemenangan cahaya ke atas kegelapan, kebaikan mengatasi keburukan, serta kekuatan ilmu mengalahkan kejahilan dan keangkuhan.
“Kita sebagai masyarakat yang kaya dengan budaya mesti menghidupkan sikap hormat dan persefahaman antara masyarakat.
“Gunakan kesempatan ini untuk menyemarak perpaduan antara kaum dan mencari titik temu, selain meningkatkan ihsan kepada yang hidup melarat dan dalam kesusahan,” katanya lagi.
Dalam masa sama, Perdana Menteri turut berharap supaya sambutan perayaan ini dapat diraikan dengan semangat kebangkitan pemikiran yang segar dan murni, demi mengangkat darjat harakat rakyat keseluruhannya.
Â