Senior UPNM dah lupa kes bunuh Zulfarhan? Ini penegasan ATM

Senior Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dilihat lupa dengan kisah kematian sadis Pegawai Kadet Laut, Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain yang menggemparkan negara tujuh tahun lalu.

Tular di media sosial kes seorang pegawai kadet di Akademi Latihan Ketenteraan (ALK) UPNM, Sungai Besi dipercayai menjadi mangsa buli serta dera oleh seniornya.

Mengejutkan banyak pihak apabila terdapat kesan lecur di bahagian dada mangsa akibat ditekap dengan seterika panas.

Semalam, ATM dalam satu kenyataan memaklumkan sedang menyiasat kes dera yang mengingatkan orang ramai akan kes tragis membabitkan Zulfarhan pada 2017.

Allahyarham telah dipukul beramai-ramai oleh 20 hingga 30 orang pelajar pada 20 Mei 2017 menggunakan pelbagai objek seperti seterika wap, tali pinggang, getah paip dan penyangkut baju sehingga 11 pagi keesokan harinya.

Mengulas kes dera terbaharu ini, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman, berkata siasatan terperinci terhadap kes itu sedang dilaksanakan pihaknya.

“ATM memandang serius isu sebegini dan tidak akan melindungi mana-mana pihak yang terbabit dalam kes itu,” katanya ringkas, lapor BH hari ini.

Mengimbas kes melibatkan Allahyarham Zulfarhan, Mahkamah Rayuan Putrajaya pernah menyifatkan pembunuhan penuntut itu sebagai jenayah kekejaman yang paling jarang ditemui.

Ini memandangkan enam tertuduh terbabit melihat mangsa menggelupur kesakitan tetapi mereka tetap menutup mata, tidak peduli dan terus menekap seterika pada hampir keseluruhan badan mangsa termasuk di bahagian kemaluan (kecuali di muka), mengakibatkan 90 kesan lecur.

Dalam keputusan penghakiman sepanjang 232 perenggan yang dibacakan selama lebih tiga jam, antara lain dinyatakan bahawa perbuatan tertuduh cukup kejam kerana mangsa telah diikat kaki dan tangan, yang mana sebelum diseterika ke seluruh badan, dia telah dipukul beramai-ramai.

“Walaupun enam tertuduh ini mendengar mangsa menjerit berpuluh kali, mereka memekakkan telinga dan terus juga menekap seterika.

“Perbuatan lima daripada enam tertuduh, menunjukkan mereka berniat jahat, zalim, tidak berperikemanusiaan dan tanpa ada rasa belas kasihan sesama rakan pengajian,” menurut keputusan penghakiman itu lagi.

Pada 23 Julai lalu, Mahkamah Rayuan Putrajaya menjatuhi enam bekas penuntut UPNM hukuman gantung sampai mati mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh Zulfarhan.

Enam tertuduh yang kini berusia 28 tahun itu ialah Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd Ali.

Sementara hukuman terhadap 12 lagi bekas penuntut universiti sama yang didapati bersalah mencederakan Zulfarhan mengikut Seksyen 330 Kanun Keseksaan, mahkamah menaikkan hukuman penjara daripada tiga kepada empat tahun.

Kesemua 12 pemuda kejam itu, ialah Mohd Hafiz Fauzan Ismail, Mohamad Lukhmanul Hakim Mohd Zain, Ahmad Shafwan Berdal, Muhammad Amirul Asraff Mala, Luqman Hakim Shamsuri Agus, Muhammad Sufi Mohd Mustapha, Noriznan Izzairi Noor Azhar, Muhamad Ashraf Abdullah, Muhamad Danial Firdaus Azmir, Muhammad Hasif Ismail, Muhammad Adib Iman Fuad Adi Sany dan Mohamad Syazwan Musa.

BACA JUGA Tak sangka negeri Pas ada konsert dalam gelap dihadiri ribuan peserta, mujur polis ambil tindakan