‘You Touch You Go!’, Asyraf Wajdi ulangi amaran ini
Tiada kompromi jika berlaku kejadian buli membabitkan warga Institut Pendidikan MARA (IPMa).
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mengulangi amaran terhadap mana-mana pihak yang terbabit dalam kes buli.
Dalam masa sama beliau menyuarakan kekecewaannya terhadap dakwaan berulangnya kes dera pelajar di sebuah institusi pendidikan tinggi awam (IPTA) yang sama.
“Langsung tiada iktibar dengan kes lalu yang menyebabkan kematian.
“Kalau berlaku di mana-mana institusi pendidikan MARA termasuklah di MRSM (Maktab Rendah Sains Mara), tiada kompromi.
“Saya dah tegaskan prinsip saya “You Touch You Go!” (Anda sentuh, anda pergi!)…
“Tak perlu nak jumpa saya buat rayuan atau apa juga untuk raih simpati kerana sudah diperingatkan berulang kali,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook beliau.
Sejak November tahun lalu, Asyraf memberi jaminan MARA tidak akan bertolak-ansur terhadap sebarang kes buli sekiranya dikesan berlaku dalam kalangan pelajar di MRSM.
Beliau dilaporkan berkata, pihaknya tidak akan sesekali menutup sebarang perilaku curang yang dilakukan oleh mana-mana pelajar walaupun anak orang kenamaan.
Penegasan Asyraf Wajdi berkenaan kes buli di IPTA itu dipercayai merujuk pada kes seorang pegawai kadet di Akademi Latihan Ketenteraan (ALK), Universiti Pertahanan Nasional (UPNM), Sungai Besi ditekup dengan seterika panas di bahagian dada oleh penuntut senior.
Susulan itu, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerusi kenyataannya berkata, tindakan disiplin yang keras mahu pun tindakan undang-undang akan dikenakan kepada pihak yang terbabit, jika terbukti bersalah.
Kesan dada melecur di dada yang tular menerusi media sosial itu menggamit Kembali ingatan kepada kes dera kejam yang meragut nyawa pegawai kadet laut UPNM, Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain pada 2017.
Hampir keseluruhan anggota badan Allahyarham berulang kali ditekap menggunakan seterika wap.
Ekoran itu, enam bekas penuntut UPNM dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Rayuan pada 23 Julai lalu selepas didapati bersalah melakukan perbuatan berkenaan.
BACA JUGA Selepas 61 tahun membentuk Persekutuan Malaysia, ini senarai permintaan Sarawak untuk RMK-13
Â