Pengasas ‘tech startup’ saran Vivy, suami jual segala harta
Seorang pengasas syarikat pemula teknologi (tech startup) mencadangkan Datin Vivy Yusof dan suaminya, Datuk Fadzaruddin Shah Anuar untuk menjual segala harta yang telah berjaya “cashout” daripada FashionValet Sdn Bhd (FashionValet) dan 30 Maple.
Aliff Ahmad menerusi X, @Alturkistiano berkata, hasil jualan segala harta tersebut kemudian disaran supaya disuntik kembali ke dalam syarikat platform e-dagang itu.
Beliau juga menambah sekiranya gelaran Datuk itu boleh dipulangkan dan boleh dapat “refund” atau dijual semula, pun buatlah.
“Pinjamlah duit bapa-bapa korang untuk suntik balik.
“Minta penjilat-penjilat untuk labur dekat korang. Tunjuklah komitmen. Takkan setakat jilat saja.
“Kalau setakat mohon maaf macam tu. Boi Iman dan Lebai Alfafa pun pernah buat. ‘Kan?” katanya sinis.
Malam tadi, Vivy dan suaminya menerusi akaun Instagram mereka memberitahu akan melepaskan jawatan mereka dalam FashionValet.
Pasangan berkenaan berkata, ketetapan itu dibuat susulan isu terkini membabitkan penjualan saham Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dalam syarikat itu.
Mereka berkata, ia antara lain bagi mengelak isu tersebut terus menjejaskan syarikat yang kini dalam fasa pemulihan.
Vivi dan Fadzaruddin turut memohon maaf susulan kontroversi berkenaan yang menjejaskan PNB dan Khazanah.
Vivy berkata, kegagalan berpunca tindakan mereka yang membuat pelaburan terlalu banyak ke dalam sistem teknologi dan memperbesarkan pasukan dengan terlalu cepat.
Jelasnya, kegagalan itu juga terjadi susulan pembukaan terlalu banyak kedai runcit fizikal selepas menjangkakan kemajuan berterusan namun menerima tamparan hebat semasa pandemik melanda.
“Kami cuba sedaya upaya menjimatkan perbelanjaan untuk menjaga aliran tunai termasuk menutup platform e-dagang namun keadaan terus meruncing.
“Banyak perkara yang kami mahu ubah jika boleh, banyak faktor lain kami harap kami pertimbangkan sebelum mengembangkan perniagaan ini.
“Mereka (PNB dan Khazanah) sentiasa bertindak secara profesional dan dalam kepentingan terbaik organisasi masing-masing.
“Kami berharap kekecewaan ini tidak menjadi penghalang dan mereka akan terus menyokong usahawan tempatan lain.
“Kami akan bertanggungjawab atas kegagalan pelaburan ini. Sebagai pihak yang mengurus syarikat, tanggungjawab ini terletak pada kami dan hakikatnya kami sudah mengecewakan pelabur,” kata kenyataan itu lagi.
BACA JUGA Sampai bila Pas nak panaskan isu perkauman kini jadi persoalan