PM Anwar arah Khazanah siasat kerugian pelaburan RM43.9 juta

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Khazanah Nasional Berhad melakukan audit dalaman bagi menyiasat permasalahan terkait kerugian pelaburan bernilai RM43.9 juta, baru-baru ini.

Ia selaras pengumuman beliau yang mengarahkan Jabatan Audit Negara melakukan pengauditan terhadap 2,000 syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bagi mewujudkan sistem tadbir urus yang lebih baik, selain memastikan semua syarikat berkenaan memenuhi tuntutan tanggungjawab dan fungsi masing-masing.

“Selaku Pengerusi, saya telah mengarahkan Khazanah Nasional Berhad untuk melakukan audit dalaman bagi menyiasat permasalahan terkait kerugian pelaburan bernilai RM43.9 juta baru-baru ini.

“Arahan tegas ini adalah sebagai memaknai pengumuman saya sebelum ini yang mengarahkan Jabatan Audit Negara (JAN) melakukan pengauditan terhadap 2,000 syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bagi mewujudkan sistem tadbir urus yang lebih baik, selain memastikan semua syarikat berkenaan memenuhi tuntutan tanggungjawab dan fungsi masing-masing,” katanya menerusi platform X.

Sementara itu, ketika berucap merasmikan Karnival Hari Penjaja dan Peniaga Kecil (HPPK) 2024 Peringkat Kebangsaan di Pusat Konvensyen PICCA, Butterworth Arena, Pulau Pinang hari ini, Perdana Menteri bertegas tidak akan masuk campur dalam siasatan terhadap Khazanah dan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) oleh pihak berkuasa termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Tegas Anwar, siasatan perlu dilakukan dengan adil tanpa mengira pangkat dan jawatan ataupun sama ada melibatkan syarikat kerajaan mahu pun swasta.

Dalam perkembangan sama, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki memaklumkan pihaknya telah memulakan siasatan berhubung kerugian pelaburan berjumlah RM43.9 juta yang dialami Khazanah dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) berhubung kes FashionValet.

Azam berkata, SPRM telah membuka kertas siasatan berhubung kerugian pelaburan itu dan memberi jaminan siasatan menyeluruh akan dijalankan secara adil dan profesional.

Kelmarin, PNB dan Khazanah dilapor perlu memberi penjelasan berhubung kerugian pelaburan berjumlah RM43.9 juta yang dialami dua syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) itu dalam FashionValet.

Susulan itu, Datin Vivy Yusof dan suaminya, Datuk Fadzaruddin Shah Anuar malam tadi memberitahu akan melepaskan jawatan mereka dalam FashionValet.

Menerusi kenyataan bersama yang dimuat naik menerusi akaun Instagram, mereka memohon maaf susulan kontroversi itu yang menjejaskan PNB dan Khazanah.

Vivy berkata, kegagalan berpunca tindakan pasangan terbabit yang membuat pelaburan terlalu banyak ke dalam sistem teknologi dan memperbesarkan pasukan dengan terlalu cepat.

Jelas mereka, kegagalan itu juga terjadi susulan pembukaan terlalu banyak kedai runcit fizikal selepas menjangkakan kemajuan berterusan namun menerima tamparan hebat semasa pandemik melanda.

BACA JUGA Bekas AJP NAFAS jawab tuduhan Lim Sian See

Â