Projek Pisang Rakyat Haji Mohamad mendapat sambutan meriah di Padang Besar
Semua rakyat mahukan perkhidmatan ahli politik kepada mereka tetapi ramai pemimpin politik tidak tahu bagaimana untuk memberikan khidmat terbaik untuk rakyat.
Bekas calon Pakatan Harapan (PH) Padang Besar dari Amanah, Haji Mohamad Yahya mempunyai cara tersendiri untuk memberikan khidmat kepada penduduk di kawasan beliau walaupun tidak terpilih dalam pilihan raya lalu.
Bekas pegawai tentera itu membuat Projek Pisang Rakyat (PPR) dengan cara memberikan benih anak pisang yang dibiak melalui tisu culture kepada penduduk di Padang Besar.
Beliau juga akan memastikan hasil pisang nanti dibeli semula oleh pasukan beliau dari peserta itu.
(Haji Mohamad dan rakan-rakannya memasukkan anak benih pisang Cavendish ke dalam kenderaan pacuan empat roda beliau di Selangor Fruits Valley untuk di bawa ke Padang Besar – Gambar FB Desa HM)
“InsyaAllah… saya akan usahakan, seberapa banyak yang boleh untuk rakyat Padang Besar yang bersedia untuk bersama dengan PPR (Projek Pisang Rakyat) akan disantuni dengan sebaik mungkin,” kata beliau menerusi hantar terbaru di facebook beliau.
Melalui PPR, Haji Mohamad bekerjasama dengan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) bagi membekalkan anak benih pisang dan akan membeli balik pisang yang dihasilkan oleh peserta projek ini.
Buat permulaan ini, Haji Mohamad membeli anak pisang Cavendish yang dibiak melalui tisu culture dari PKPS dan diberikan kepada penduduk Padang Besar yang sedia menyertai projek ini.
Menurut Haji Mohamad, minggu depan beliau telah memilih 30 penama untuk menerima 16 anak benih pisang Cavendish setiap peserta.
Pemilihan ini dibuat dengan kerjasama Jawantankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Perlis (JPKKP) yang ada di Padang Besar.
“Alhamdulillah, sambutan begitu hangat… tak dan (sampai) tengahari, dah siap nama…
“Itu baru dari satu kampung… Ada lebih 10 lagi Pengerusi JPKKP dalam Padang Besar yang dok tanya… bila benih nak sampai…” tulis Haji Mohamad.
Sehari sebelum itu, Haji Mohamad pergi sendiri ke Selangor Fruit Valley, Kuala Selangor untuk mengambil anak-anak pisang yang beliau beli untuk projek PPR ini.
Dengan menggunakan kereta pacuan empat roda beliau, beliau boleh muat 500 anak pisang sahaja untuk satu trip perjalanan dari Selangor ke Perlis.
Ini adalah pusingan kedua Haji Mohamad membawa anak-anak pisang ini. Untuk pusingan pertama dahulu beliau hanya memberikan 10 pokok setiap peserta.
(Para peserta projek PPR Haji Mohamad menerima anak benih pisang Cavendish dalam pusingan pertama pembahagian anak benih – Gambar FB Desa HM)
Di samping khidmat nasihat dari pembekal benih, Haji Mohamad juga mendapatkan khidmat nasihat dan sokongan dari Jabatan Pertanian Negeri Perlis untuk memastikan projek ini berjaya memberikan hasil yang lumayan untuk peserta.
Baru-baru ini, Haji Mohamad dan rakan-rakannya mengadakan pertemuan dengan Pengarah Jabatan Pertanian Negeri Perlis di pejabat beliau.
Perbincangan itu turut disertai oleh Timbalan Pengarah beserta seorang lagi pegawai kanan di jabatan ini.
Semuanya berkisar tentang bagaimana untuk mencari solusi bagi memperkasa industri pertanian, terutama penanaman padi di luar jelapang yang mana majoritinya berada di kawasan Padang Besar.
“Saya turut memberikan sedikit taklimat mengenai Projek Pisang Rakyat (PPR) yang sedang diusahakan.
“Saya sentuh sekali mengenai keperluan bantuan baja dan racun dari jabatan pertanian, selain khidmat nasihat dari pegawai pertanian dalamr hal berkaitan penjagaan pokok-pokok pisang.
“Alhamdulillah.. idea yang kami cetuskan ini mendapat sokongan padu dari Pengarah dan pegawai beliau.
“Beliau berjanji, akan memberikan apa jua bantuan berbentuk input-input pertanian, selain turut mencadangkan…
“Biar kita jadikan projek ini di bawah program Satu Daerah Satu Produk,” kata Pengarah Pertanian Perlis kepada rombongan Haji Mohamad.
(Haji Mohamad dan rombongan bergambar kenangan dengan Pengarah Pertanian Perlis selepas kunjung hormat – gambar FB Desa HM)
Dengan kerjasama semua pihak, bekas kaptan dalam tentera Malaysia ini yakin projek pisang beliau ini akan memberikan manafaat kepada semua peserta yang terlibat dengan projek beliau.
Â