Kes hasutan Muhyiddin: Sebutan semula 15 Januari 2025

Mahkamah Sesyen Gua Musang telah menetapkan 15 Januari 2025 sebagai tarikh sebutan semula kes hasutan mantan perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Hakim Nik Mohd Tarmizie menetapkan tarikh tersebut selepas mendengar permohonan peguam bela agar kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kota Bharu.

Peguam Muhyiddin, Amer Hamzah berkata permohonan pemindahan kes dibuat kerana ia melibatkan undang-undang termasuk isu pelantikan Perdana Menteri oleh Yang di-Pertuan Agong.

“Kes ini kami akan bahagikan beberapa isu undang-undang penting sama ada Seksyen 3 dan Seksyen 4 (1) Akta Hasutan. Sama ada ia mematuhi Perlembagaan Persekutuan khususnya fasal 10, itu antara satu isu undang-undang yang kita akan bangkitkan.

“Mungkin ada keperluan mahkamah untuk membuat deklarasi bahawa peruntukan terbabit tidak sah dan kuasa untuk membuat deklarasi mana-mana undang-undang (sama ada) tidak sah atau tidak tidak mematuhi Perlembagaan hanya terletak di Mahkamah Tinggi.

“Mahkamah Sesyen tidak ada bidang kuasa berkenaan, jadi memandangkan akan timbul isu-isu sedemikian, sebab itu kami rasa perlu dipindahkan di Mahkamah Tinggi,” katanya ketika ditemui selepas prosiding sebutan semula kes terbabit, lapor Berita Harian.

“Kami harap permohonan ini dapat di tetapkan pada bulan ini atau awal Disember depan,” katanya.

Muhyiddin berdepan tuduhan hasutan ekoran tindakan beliau mempersoal keputusan Agong dalam melantik Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai perdana Menteri.

Beliau berbuat demikian ketika berkempen di pilihan raya kecil Nenggiri di Felda Perasu pada 14 Ogos lalu.

BACA JUGA: Muhyiddin faces sedition charges today

Â