NGV ditamatkan, umum Anthony Loke
Menteri Pengangkutan Anthony Loke telah mengumumkan penamatan bekalan bahan api gas asli mampat (NGV) dan larangan penggunaan kenderaan berkaitan dengan NGV.
“Mana-mana kenderaan motor yang dikuasakan dengan bahan api NGV tidak lagi dibenarkan untuk didaftar atau dilesenkan untuk kegunaan di atas jalan raya di Malaysia atas dasar keselamatan kepada pengguna dan orang ramai mulai 1 Julai 2025.
“Kedua, supaya PETRONAS menamatkan bekalan runcit NGV secara berperingkat di dalam pasaran Malaysia sebelum penamatan sepenuhnya juga mulai 1 Julai 2025.
“Ketiga, susulan pengumuman ini, saya akan maklumkan perincian Program Bantuan Peralihan Kenderaan NGV,” kata Loke.
Keputusan yang dipersetujui oleh Jemaah Menteri ini diambil berdasarkan jumlah kenderaan yang menggunakan NGV hanyalah 0.2 peratus daripada keseluruhan kenderaan motor.
Asas kepada keputusan ini
Asas pertimbangan yang membawa kepada keputusan ini ialah tangki NGV mempunyai had tempoh selamat dalam 15 tahun.
“Selain itu, terdapat segelintir pengguna yang telah melaksanakan ubah suai kenderaan dengan menggunakan silinder gas memasak (LPG) yang amat berbahaya dan telah mendatangkan risiko kemalangan dan letupan sebelum ini.
“Silinder LPG hanya mempunyai tekanan sekitar 7 bar/100 psi berbanding tangki NGV yang mempunyai tekanan sehingga 220 bar/3,200 psi.
“Penggantian menggunakan komponen-komponen tulen pula akan memakan kos yang tinggi, sehingga boleh melebihi RM7 ribu satu kenderaan. Menyukarkan lagi keadaan, alat ganti NGV terutamanya tangki tulen sama ada sudah tiada lagi, atau amat sukar diperolehi di pasaran tempatan.
“Dalam hal ini, melalui pemerhatian dan maklum balas yang diterima, terdapat pemilik kenderaan yang telah menggunakan alat ganti daripada tangki yang telah digunakan (used), atau pengubahsuaian tidak diiktiraf, termasuk menggunakan tangki gas LPG.
Tiga pakej bantuan peralihan
Program bantuan peralihan meliputi tiga pakej.
Pakej pertama adalah untuk pemandu teksi NGV akan menerima e-baucar MR3000 menerusi Setel secara sekali bayar. Tarikh tutupnya ialah 31 Disember 2024
Pakej kedua ialah pakej menanggalkan kit NGV daripada kenderaan dwi bahan api. Tarikh tutup ialah 30 April 2025
Yang ketiga ialah pakej bantuan peralihan bagi kenderaan bahan api tunggal NGV menawarkan pembayaran secara one-off kepada pemilik kenderaan yang layak. Tarikh tutup ialah 31 Disember.
Bekalan runcit NGV akan ditamatkan secara berperingkat mulai 1 Oktober.
Maklumat lanjut boleh diperoleh dari www.peralihanngv.com
Â