PM Anwar ikrar beri bantuan kemanusiaan kepada Filipina di saat getir

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan pendirian Malaysia untuk berdiri teguh bersama Filipina dan terus memberikan bantuan kemanusiaan susulan Ribut Tropika Kristine yang melanda republik itu sehingga menyebabkan puluhan kematian.

Anwar menyatakan sokongan penuhnya ketika menghubungi Presiden Republik Filipina, Ferdinand ‘Bongbong’ Romualdez Marcos Jr. yang dianggapnya sebagai sahabat.

“Di saat getir seperti ini Malaysia berdiri teguh bersama Filipina dan telah memberikan bantuan kemanusiaan bagi meringankan penderitaan yang dihadapi warga Filipina.

“Lantaran itu, tragedi dahsyat seperti ini memberi peringatan kepada kita akan pentingnya perpaduan serta kerjasama serantau yang erat,” katanya.

Sementara Malaysia menggerakkan bantuan segera, Anwar berkata perlunya usaha menyumbang kepada pemulihan jangka panjang serta inisiatif ke arah pembinaan semula.

Malaysia mengulangi tekad untuk bekerjasama lebih rapat dengan Filipina dalam memperkukuh perancangan dan tindak balas tangkas terhadap bencana sebagai tidak hanya untuk mempererat hubungan dua hala tetapi juga meningkatkan daya tahan (resilience) rantau ini.

“Kepada Presiden Bongbong dan rakyat Filipina, Malaysia berdiri teguh bersama Filipina dan tidak akan sesekali mengabaikan tetangganya terutama di saat getir dan tragedi,” ujarnya lagi.

28 Oktober lalu Malaysia menghantar Pasukan Bantuan Kemanusiaan dan Bencana (HADR) ke Wilayah Bicol di selatan Luzon, Filipina, yang dilanda banjir teruk susulan Taufan Tropika Kristine (Trami).

Wisma Putra memaklumkan bahawa pasukan HADR Malaysia, terdiri daripada 16 kru Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), berlepas dari Pangkalan Udara Villamor di Manila menuju ke kawasan Bicol untuk menghantar bekalan bantuan.

BACA JUGA ‘Tak banyak negara sanggup lakukan seperti Malaysia, jangan desak berlebihan’ – Anwar kepada pembangkang