‘Tak banyak negara sanggup lakukan seperti Malaysia, jangan desak berlebihan’ – Anwar kepada pembangkang

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pendirian Malaysia memberi tekanan kepada Israel dan mempertahankan Palestin adalah tegas, malah ia melampaui kesanggupan negara lain di dunia.

Kata beliau, tidak banyak negara-negara di dunia ini sanggup mengambil keputusan seperti yang Malaysia lakukan.

Atas sebab itu Anwar berkata, pembangkang tidak perlu menggesa kerajaan secara keterlaluan kerana blok itu ketika dalam pemerintahan pun tidak lakukan lebih dari apa yang kerajaan sekarang lakukan.

“Pendirian Malaysia tegas dalam isu Palestin, tidak banyak negara di dunia ini mengambil keputusan seperti Malaysia. Janganlah menggesa kita buat lebih dari itu.

“Kerana semasa rakan-rakan (pembangkang) seperti Yang Berhormat Sik tahu, mereka dalam pemerintahan pun mereka tidak lakukan begitu. Malah mereka mengizinkan kapal Zim milik Israel berlabuh.

“Kita (sekarang) tidak mengizinkan, jadi kita mengambil langkah lebih daripada itu,” katanya dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Menjawab pertanyaan Ahmad Tarmizi Sulaiman (PN-Sik) yang menggesa agar kerajaan menyemak kembali penjualan saham Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) kepada syarikat Blackrock Inc, Anwar memaklumkan, ratusan syarikat mempunyai kepentingan rejim Israel di negara ini.

Ahli Parlimen Tambun itu turut mengingatkan bahawa negeri ditadbir pembangkang juga mempunyai kaitan dengan Blackrock.

“Puluhan malah ratusan syarikat yang ada kerjasama dagangan dengan Israel, yang berdagang dengan semua negara termasuk Malaysia dan di semua negeri termasuk negeri-negeri yang diperintah pembangkang,” katanya lagi.

BACA JUGA Apa hukum tak percaya mimpi jumpa Nabi? Ini penjelasan Ustaz Azhar Idrus

Â