Pas kecoh kongsi video beri duit di celah jari penari Sabah

Laman rasmi Facebook Pas Kawasan Petaling Jaya menjadi tumpuan orang ramai termasuk anak jati Sabah apabila berkongsikan video beberapa pemimpin BN memberikan duit di celah jari tiga penari.

Pas kawasan yang terletak di Selangor itu meninggalkan kapsyen ringkas, “Pemurah” untuk rakaman video berdurasi hampir tiga minit tersebut.

Namun, rata-rata warganet mengecam Pas yang dilihat tidak tahu menahu tentang persembahan itu yang sebenarnya merupakan tarian tradisional masyarakat Bajau di Sabah, iaitu igal-igal.

Dalam tarian yang terkenal terutamanya di pantai timur Sabah iaitu Semporna, memang terdapat pemberian wang dikenali sebagai ‘sabod’ kepada penari ketika sedang menari.

Sehubungan itu, ada yang meminta Pas Kawasan Petaling Jaya memadam hantaran tersebut kerana dianggap mengaibkan parti pembangkang itu sendiri.

Warganet turut mengingatkan kesalahan Pas semasa kempen pilihan raya juga banyak termasuk meminta pengundi bersumpah mengundi Pas.

“Admin sila padam apa yang anda post. Jangan cuba menjatuhkan fitnah. Itu semua tradisi orang Sabah… Kesalahan parti kamu lebih banyak rasanya, semasa PRU siap angkat sumpah dan beri RM100. Kamu nak kata apa sekarang ini? Parti Islam tapi tak mencerminkan ajaran Islam yang sebenar,” kata pengguna Facebook, Mohammad Adha Azhari.

Tindakan Pas yang nampaknya cuba mempolitikkan persembahan kebudayaan dari wilayah Borneo itu turut mengundang rasa tidak puas hati anak jati Sabah.

“Malaya tak faham kami orang Sabah… tradisi bah… berapa kali sudah saya lihat persembahan ini sejak SMK. Di pantai timur masyarakatnya majoriti Bajau, Suluk.. takkan Sumazau pula, ‘kan?” tegas seorang penduduk Sabah.

BACA JUGA Tan Chong Ren maki Islam: Rupanya ada masalah mental

Â