Selepas pejabat, kediaman pengasas FashionValet pula diperiksa SPRM
Selepas empat pejabat FashionValet diserbu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), kali ini kediaman pengasas syarikat itu pula diperiksa suruhanjaya berkenaan.
Menurut laporan, beberapa premis FashionValet turut diperiksa bagi mendapatkan maklumat aset dimiliki suami isteri berkenaan.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pegawainya telah mengikuti pasangan berkenaan ke kediaman mereka di Lembah Klang bagi membantu siasatan.
“Pegawai saya dalam proses buat siasatan terhadap premis-premis dimiliki pasangan berkenaan untuk tujuan membuat siasatan lanjut, ambil dokumen dan sebagainya, jadi siasatan terhadap kedua-duanya masih berjalan, masih belum habis,” katanya menurut laporan BH Online.
Vivy Yusof dan suami hadir ke ibu pejabat SPRM pada 12.54 tengah hari tadi untuk diambil keterangan berhubung siasatan berkaitan kerugian pelaburan dalam platform e-dagang, FashionValet Sdn Bhd membabitkan dana awam.
Azam berkata siasatan pihaknya masih di peringkat awal dan tumpuan adalah kepada suami isteri berkenaan untuk mendapatkan dokumen serta barang kes yang diperlukan.
BACA JUGA PM Anwar ucap tahniah, gesa AS tamatkan keganasan di Palestin