Tak patut pun persoal niat PMX tak ambil gaji

Keputusan Perdana Menteri tidak mengambil upah atau gaji kerana beliau percaya masih banyak wang negara yang boleh dijimatkan untuk diberikan kepada rakyat.

Pengarah Jabatan Pemahaman dan Pemantapan Agama Keadilan, Amidi Abdul Manan berkata, jika ada pihak mempersoal keikhlasan niat tersebut, maka individu itu sedang berlagak seperti Tuhan yang lebih tahu isi hati manusia.

“PMX telah menyatakan tindakan tidak mengambil gaji ini kerana keadaan ekonomi negara yang kurang sihat dengan bebanan hutang yang tinggi.

“Secara umumnya, tiada yang bertentangan dengan ajaran Islam. Sama ada dari sudut niat mahu pun pelaksanaannya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau mengulas ucapan perbahasan Tan Sri Abdul Hadi Awang di Dewan Rakyat semalam yang menyebut ada orang ingin menunjukkan dia lebih baik berbanding Nabi Muhammad dengan tidak mengambil gaji.

Amidi berkata, ucapan Abdul Hadi seolah membawa maksud tindakan PMX tidak mengambil gaji adalah tidak selari dengan ajaran Islam.

Perbincangan mengenai upah atau gaji termasuk dalam bab ijarah. Para ulamak berpandangan adalah satu keharusan jika aajir (pekerja) tidak mengambil upah atas tujuan tertentu daripada musta’jir (majikan).

Perbuatan tidak mengambil upah boleh dilihat sebagai suatu sedekah jika cukup syaratnya, sama ada sedekah untuk pihak lain atau pun sedekah kepada majikannya.

Kata Amidi, dalam hal bersedekah ini, ia boleh dilakukan secara sembunyi atau pun dihebahkan seperti yang dinyatakan dalam ayat 271, surah al-Baqarah.

“Jika ada yang mempersoalkan keikhlasan niatnya maka dia berlagak seperti Tuhan yang lebih tahu berbanding malaikat dan Nabi berkaitan isi hati manusia,” katanya lagi.

BACA JUGA Siapa aktivis politik disyaki terima rasuah dari pendakwah selebriti?

Â