Maaf cakap, buat Datuk Bandar Kuala Lumpur Dr Maimunah….
OLEH NORMAN RADZUAN
Maaf cakap saya biasa ke luar negara, saya anggap Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak kreatif untuk menghiaskan lagi KL dengan pelbagai tarikan pelancong.
Ketika ini jika di waktu malam persimpangan empat KLCC- Public Bank penuh sesak pelancong cuba mencari sudut terbaik untuk mengambil gambar KLCC sehingga mengganggu lalu lintas kenderaan.
Pernah tular tetapi masih tidak serik dan semakin menjadi-jadi aktiviti sekumpulan jurugambar bebas di kawasan tumpuan pelancong yang mengenakan harga yang mahal disebabkan tiada penguatkuasa DBKL di situ.
Sepatutnya Datuk Bandar bawa ke pengetahuan menteri mencadangkan untuk membina laluan pejalan kaki di persimpangan tersebut (bulatan).
Fungsi 2 dalam 1 di mana bukan sahaja untuk laluan jambatan pejalan kaki tetapi juga boleh dijadikan lokasi selamat pelancong untuk bergambar dengan mendapat sudut yang lebih menarik.
Cadangan ini sudah pernah saya tulis awal tahun ini. Barangkali tunggu ada pelancong terkorban baru DBKL akan bertemu dengan menteri cadangkan itu ini. Itu gaya Malaysia tunggu kejadian baru ada kejadian, kata orang Sabah.
Sewaktu saya berkunjung ke Jakarta, di depan Hyatt Hotel atau di bulatan ikonik Bundaran HI mereka membina ruang tinjau untuk bergambar menampakkan pandangan menarik. Penuh saban malam walaupun dikenakan bayaran.
Rasanya dah 20 tahun apa DBKL buat bila melihat kawasan ikonik KLCC ini penuh sesak? Yang kita lihat boleh pula penjual jagung bakar di situ. Ia sangat memalukan bila penguatkuasaan DBKL sangat-sangat lemah.
Anda pernah pergi ke HK? Setiap malam ribuan pelancong menunggu jam 8 untuk melihat Symphony of Lights. Di mana pertunjukan lampu laser dari bangunan-bangunan di pulau HK selama 15 minit.
Walaupun kurang menarik tetapi saban malam puluhan ribu pelancong menantikan pertunjukan tersebut. Saya empat kali ke HK, empat kali jugalah akan menanti pertunjukan itu. Ia hanya perlu kreatif sahaja.
Isunya mengapa DBKL tidak bekerjasama dgn Petronas untuk pertunjukkan lampu bangunan KLCC seperti dilakukan pada Hari Kebangsaan?
Disertakan pertunjukan air pancut dalam waktu yang sama. Jadikan jam 9 malam puluhan ribu pelancong akan berada di KLCC menanti untuk menyaksikan dua pertunjukan tersebut.
Begitu juga di BB, saya cadangkan andai lata Bangunan Yayasan Selangor itu masih tidak dilakukan sesuatu pasangkan LED skrin secara vertical. Tunjukkan aktiviti PMX dan kerajaan Selangor.
Tidak perlu harapkan pengiklanan anggaplah ia sebagai bentuk kempen kerajaan. Ia akan jadi 2 dalam 1 selain sumber maklumat kerajaan ditayangkan sekaligus mencantikkan suasana di BB dari dilihat seperti bangunan hantu.
Kemudian di bawah stesen Monorel BB, sungguh suram dengan lampu putih. Jika DBKL kreatif mainkan lampu berwarna warni di bawah jambatan tersebut seperti di Melaka. Nampak orang Melaka lebih bijak dari DBKL.
Sebenarnya di laluan BB berhadapan Sungei Wang perlu dibina pondok polis dan juga pondok untuk anggota DBKL yang cantik dan selesa. Saya lihat kawasan tersebut sesuka hati orang ramai parking di sisi jalan. Kesan kesesakan tersebut saban malam hingga ke Westin Hotel.
Pelancong melihat seolah negara kita ini tiada penguatkuasa. BB boleh sesuka hati dilakukan sedangkanq ia kawasan tumpuan pelancongan dan puluhan ribu manusia dari seluruh dunia bertumpu di situ.
Di Malaysia kalau ada pun penguatkuasa bermusim… 2-3 hari kita nampak polis atau DBKL di situ kemudian hilang entah ke mana. Saya pun tak faham kenapa boleh jadi begitu.
Kerajaan Madani tak perlu buat projek mega tetapi cukup buat satu legasi yang disebut sebagai idea kreatif. Di mana ia menjadi tumpuan pelancong dan memberi impak positif pelancongan negara.
Datuk Bandar DBKL perlu tour ke bandaraya China untuk lebih kreatif. Maaf teguran ini kerana bandaraya KL boleh jadi hebat tapi hanya perlu kreativiti.
BACA JUGA Pas tidak benarkan MP mereka runding MoU peruntukan dengan kerajaan
Â