JAKIM tapis ketat pelantikan guru KAFA, ikut aliran Ahli Sunnah Wal Jamaah

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan membuat penilaian ketat bagi memastikan guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) yang dilantik benar-benar memahami dan berpegang pada Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar berkata, langkah itu bagi memastikan pendidik yang dilantik menyampaikan ajaran Islam sebenar kepada pelajar.

“Dalam konteks memastikan murid-murid yang dibangunkan dalam pendidikan KAFA ini menerima pendidikan agama yang sebenar daripada sudut asasnya, maka sudah tentu tapisan awal bagi pemilihan kepada guru-guru KAFA ini sangat penting.

“Kalau tidak ditapis dan mereka tidak faham konteks membina murid, ia akan mencacatkan falsafah KAFA yang menjurus ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah,” katanya dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Manndzri Nasib (BN-Tenggara) mengenai kaedah atau mekanisme bagi menapis guru KAFA yang dilantik supaya berpegang dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Dalam pada itu, Mohd Na’im berkata seramai 35,000 guru KAFA dilantik setakat ini bagi mendidik serta memperkukuh agama Islam anak-anak dan akan diteruskan tahun depan.

Manakala sebanyak 1,500 guru ditambah tahun depan seperti diumumkan dalam Belanjawan Madani 2025 bulan lalu untuk memastikan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran (PdP).

Mohd Na’im berkata, cadangan penambahan kuota guru  seramai 1,500 orang dalam Belanjawan 2025 adalah bukti kerajaan amat serius dalam meningkatkan pendidikan Islam di negara ini.

BACA JUGA Disaman RM1 juta kerana memfitnah, Dr Maza buka mulut