Saifuddin tempelak Hadi seminit pun tak pernah masuk penjara
Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Abdul Hadi Awang seminit pun tidak pernah dimasukkan ke penjara, tegas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Kenyataan Saifuddin itu susulan perbahasan Hadi yang sebelum ini yang mendakwa ramai pemimpin Pas masuk penjara ketika berjuang dalam reformasi suatu masa dahulu.
Menurutnya, ketika reformasi, ramai yang kena tangkap dan mereka terdiri daripada pemimpin yang kini berada di pihak kerajaan.
“Dari segi sejarah, Marang satu minit pun tak pernah masuk penjara, tak pernah. Ada ke? Berapa minit masuk penjara?” kata Saifuddin di Dewan Rakyat hari ini.
Walau bagaimanapun Syahir Sulaiman (PN – Bachok) mencelah, “Masuk lokap.”
Saifuddin kemudian menegaskan bahawa masuk lokap adalah berbeza dengan masuk penjara.
“Masuk lokap. Masuk lokaplah. Barisan kami ni masuk lokap biasalah, dah biasa dah. Bachok pernah masuk lokap?” katanya.
Beliau menambah bahawa Presiden AMANAH, Datuk Seri Mohamad Sabu sebelum ini ketika berada dalam Pas kerap masuk lokap.
“Yang dulu kalau kerap masuk lokap, Yang Berhormat Kota Raja (Datuk Seri Mohamad Sabu) sebenarnya. Kita fahamlah yang itu.
“Jangan jadi alasan itu, bertempur dengan polis dan berundur. Dalam sejarah Pas, polis pun ada yang mati dibunuh, ada.
“Jadi, takkanlah bila bertempur dengan polis dalam demonstrasi, berundur kerana polis. Itu alasan yang lemah,” katanya ketika menggulungkan perbahasan Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan di peringkat Kementerian Dalam Negeri di Dewan Rakyat hari ini.
BACA JUGA Kemenangan Donald Trump: PM Anwar ulang pendirian mengenai Gaza