Ini jumlah Mahiaddin kena bayar Guan Eng

RM1.35 juta! Itu jumlah yang perlu Tan Sri Mahiaddin Yassin perlu bayar kepada Pengerusi DAP, Lim Guan Eng seperti diperintah oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Ia susulan tuntutan saman fitnah dikemukakan Guan Eng berhubung isu pembatalan pengecualian cukai kepada Yayasan Al-Bukhary.

Pesuruhjaya Kehakiman Roz Mawar Rozain memerintahkan Mahiaddin yang merupakan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia itu membayar ganti rugi am sebanyak RM1.05 juta, dan ganti rugi teruk serta teladan masing-masing berjumlah RM350,000.

Menerusi keputusannya, Roz Mawar berkata, Guan Eng berjaya membuktikan kesnya terhadap Mahiaddin melalui imbangan kebarangkalian dan kenyataan yang dikeluarkan Ahli Parlimen Pagoh berkenaan adalah tidak berasas serta tidak benar.

Memetik BH, Roz Mawar berkata, Mahiaddin mempunyai sumber yang boleh digunakan untuk mengesahkan sama ada pemahaman Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu betul mengenai fakta tersebut.

Namun, kata Roz Mawar, Mahiaddin tidak berbuat demikian dan terus membuat kenyataan berunsur fitnah terhadap Guan Eng.

Guan Eng pada 27 Mac 2023 memfailkan saman terhadap Mahiaddin yang didakwa mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah di Facebook mengenai dirinya berhubung isu terbabit pada 9, 11 dan 12 Mac 2023.

Guan Eng turut mendakwa kenyataan bekas Perdana Menteri itu membawa maksud beliau telah menyalah guna kedudukan dan kuasanya dengan memberi kuasa atau mengarahkan LHDN mengenakan cukai serta penalti terhadap Yayasan Albukhary.

Lim Guan Eng ketika hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini. Foto KOSMO!

BACA JUGA Anak muda mesti bangkit elak ditimbus tiga ‘penjajah’ ini

Â