Berbaki tiga tahun penggal, ini nasihat Gobind kepada ahli DAP

Timbalan Pengerusi DAP, Gobind Singh Deo menasihatkan ahli DAP supaya sentiasa dalam keadaan bersiap sedia untuk menghadapi sebarang ketidaktentuan dalam arena politik.

Menurutnya, setiap ahli supaya peka dan cakna dengan perancangan diatur oleh parti lawan dalam tempoh berbaki tiga tahun penggal ini sebelum menghadapi ujian sebenar iaitu menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

“Nasihat kepada semua ahli DAP, kerja kita belum habis. Di luar sana, kita ada pihak lawan. Mereka sedang membuat persiapan untuk lawan kita pada PRU akan datang.

“Jangan kita sesekali melihat perkara itu secara remeh. Kena peka kita ada lawan di luar sana.

“Kita kena cukup kuat, bina diri kita supaya kita bersedia untuk mendepani untuk beberapa tahun akan datang,” tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pembukaan Konvensyen Biasa Negeri DAP Selangor 2024 di Pusat Konvensyen Ideal Shah Alam (IDCC), hari ini.

Dalam masa sama, Gobind mengingatkan agar ahli parti komponen Kerajaan Perpaduan Selangor itu bersih dan pemimpinnya melaksanakan tanggungjawab bagi manfaat kepada negeri dan negara.

Konvensyen itu juga dihadiri Menteri Besar Selangor merangkap Pengerusi PKR Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari; Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Megat Zulkarnain Omardin dan Timbalan Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Selangor, Azli Yusof.

BACA JUGA ‘Tugasan pelajar sekolah lagi terperinci siap ada fakta’

Â