Kemungkinan PH-BN bertembung di Johor, ini pendirian AMANAH

Naib Presiden AMANAH, Datuk Mahfuz Omar berpendapat tuntutan 20 kerusi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) oleh pimpinan parti itu di Johor sebagai wajar.

Menurutnya, ia memandangkan barisan Ahli Majlis Kerajaan Negeri Johor pada masa ini tidak mencerminkan komposisi Kerajaan Perpaduan.

Dalam masa sama, beliau yakin pemimpin UMNO dan Barisan Nasional (BN) memiliki keterbukaan yang luas dan boleh diajak berunding bagi memastikan tiada pertembungan dalam PRN akan datang.

“Itu (kemelut AMANAH dan UMNO di Johor) perkara biasa. Bagi saya selagi belum ada satu kata putus daripada perundingan, maka sudah tentu akan ada pihak yang menuntut, akan ada pihak yang mengatakan ini hak kami dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Konvensyen Tahunan Pemuda AMANAH Perak di Pusat Konvensyen Casuarina, di Ipoh malam tadi.

Terdahulu, AMANAH Johor tidak menolak kemungkinan berlaku pertembungan antara Pakatan Harapan (PH) dan BN pada PRN akan datang.

Timbalan Pengerusi AMANAH Johor, Dzulkefly Ahmad dilaporkan berkata, negeri itu masih di bawah kepimpinan BN dan belum membentuk Kerajaan Perpaduan walaupun selepas menang dalam PRK Mahkota baru-baru ini.

Beliau dipetik berkata, AMANAH Johor sedia untuk bertanding sekurang-kurangnya 20 kerusi daripada keseluruhan 56 kerusi DUN Johor, sama ada bersama dengan BN atau dengan gabungan asal PH.

BACA JUGA Empat hari PM Anwar di Mesir

Â