Lagi kes ganas di UPNM sampai retak tulang belakang dan rusuk, ini respon Menteri Pertahanan
Kes ganas di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) berulang dengan kali ini pelatih Tahun Satu mengalami keretakan pada tulang rusuk dan tulang belakang.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata kes membabitkan mangsa berusia 19 tahun itu merosakkan imej UPNM serta institusi pendidikan tinggi.
“Saya dimaklumkan berkenaan laporan media yang tular membabitkan seorang pelatih di UPNM yang mengalami kecederaan dipercayai tindakan seorang pelatih senior.
“Susulan laporan polis yang dibuat, Kementerian Pertahanan menyerahkan perkara ini kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menyempurnakan siasatan.
“Pihak saya dan Kementerian Pertahanan akan memberi sepenuh kerjasama dan perhatian dalam perkara ini,” katanya di Facebook beliau, hari ini.
Dilaporkan, kejadian berlaku pada 21 Oktober lalu, sehari sebelum seorang pelajar tahun dua universiti sama ditekap seterika oleh pelajar tahun empat.
Mangsa mulanya sedang berada di tepi padang kawad setelah selesai sesi panggil nama.
Akibat dipijak oleh seorang pelatih tahun tiga, mangsa mengalami keretakan pada tulang rusuk dan tulang belakang.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa dilaporkan berkata, mangsa kini sedang mendapatkan rawatan di hospital berikutan kecederaan yang dialami.
Untuk rekod, UPNM menggemparkan negara dengan kisah kematian sadis Pegawai Kadet Laut, Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain pada 2017.
Tragedi menyayat hati itu akhirnya menyaksikan Mahkamah Rayuan menjatuhkan hukuman gantung terhadap enam bekas penuntut UPNM kerana membunuh Zulfarhan Osman.
Kesemua suspek yang kini berusia 28 tahun ialah, Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd Ali.
BACA JUGA Premier Sarawak ini makin lantang, sedia diheret ke mahkamah
Â