Suami terlepas dakwaan jadi orang tengah, isteri melacur diri

Selepas lima tahun berlalunya kes, Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu hari ini memutuskan untuk melepaskan tanpa membebaskan (DNAA) pasangan suami isteri atas tiga pertuduhan yang dikaitkan dengan kegiatan pelacuran.

Keputusan Hakim Syarie Hamidi Shafie itu selepas pihak pendakwaan memutuskan untuk memberhentikan prosiding terhadap dua tertuduh, Ahmad Nizam A Aziz, 38, dan isterinya, Nor Syuhada Abu Hassan, 37.

Terdahulu, Ahmad Nizam didakwa atas tuduhan muncikari kerana melacurkan atau membiarkan isterinya melacurkan diri serta menjadi orang tengah terhadap perlakuan sumbang antara isterinya dan lelaki lain.

Kes membabitkan buruh itu didakwa mengikut Seksyen 27 (1) dan Seksyen 28 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu 2001.

Ahmad Nizam didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah bilik sebuah hotel di bandar raya ini kira-kira jam 8.40 malam pada 24 dan 25 Julai 2019.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa mengikut Seksyen 27(1) Enakmen sama kerana melacurkan isterinya di lokasi, waktu dan hari yang sama.

Isteri tertuduh turut didakwa mengikut Seksyen 25 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu 2001 kerana melakukan perbuatan sebagai persediaan untuk melacurkan diri di lokasi sama antara jam 10 hingga 10.20 malam pada 25 Julai 2019.

Sebelum ini, pasangan terbabit berdepan hukuman denda RM5,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau maksimum enam sebatan atau mana-mana kombinasi hukuman jika sabit kesalahan.

Pendakwaan kes itu dikendalikan Pendakwa Syarie Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Terengganu manakala tertuduh diwakili peguam, Fazru Anuar Yusof.

BACA JUGA Premier Sarawak ini makin lantang, sedia diheret ke mahkamah

Â