Majlis Peguam gagal cabar keputusan Lembaga Pengampunan kurangkan hukuman Najib

Mahkamah Tinggi menolak permohonan Majlis Peguam yang mahu mencabar keputusan Lembaga Pengampunan berhubung pengurangan hukuman penjara dan denda Datuk Seri Najib Razak atas sabitan rasuah SRC International Sdn Bhd.

Sebelum ini lembaga pengampunan mengurangkan hukuman penjara bekas perdana menteri itu daripada 12 kepada enam tahun manakala denda RM120 juta dikurangkan kepada RM50 juta. 

Di mahkamah hari ini, Hakim, Datuk Ahmad Kamal Md Shahid, menolak permohonan kebenaran semakan kehakiman selepas mendapati perkara berkenaan tidak boleh diputuskan melalui prinsip undang-undang atau oleh mahkamah.

Dalam keputusannya, mahkamah berpendapat bahawa nasihat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan adalah sebahagian daripada proses yang membawa kepada pemberian pengampunan oleh Yang di-Pertuan Agong.

“Justeru, ia bukan perkara yang sesuai dan wajar untuk disemak semula di hadapan mahkamah ini,” katanya.

Pada 26 April lalu, Majlis Peguam memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman dengan menamakan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya serta Najib sebagai responden.

Ia memohon perisytiharan bahawa keputusan Lembaga Pengampunan pada 29 Januari lalu berhubung permohonan Najib untuk mengurangkan separuh daripada hukuman penjaranya, yang menyaksikan beliau akan dibebaskan lebih awal iaitu pada 23 Ogos 2028, adalah tidak sah, tidak berperlembagaan dan batal.

BACA JUGA Kecoh ADUN bincang rasuah: Lip Eng mahu dedah di Parlimen jika saksi beri maklumat