PM curi-curi masa buat kerja dalam kapal terbang
Perkongsian Perdana Menteri menarik perhatian ramai selepas memuat naik beberapa foto beliau menyelesaikan tugasan ketika dalam perjalanan ke Kaherah, Mesir.
Datuk Seri Anwar Ibrahim mencuri sedikit masa dari jadual padatnya untuk menyelesaikan beberapa tugasan walaupun sedang berada di dalam kapal terbang.
Beliau ke Kaherah bagi lawatan rasmi empat hari atas jemputan Presiden, Abdel Fattah El-Sisi.
“Semalam (kelmarin) sewaktu dalam perjalanan ke Kaherah, Mesir saya sempat meneliti dan menyelesaikan beberapa tugasan penting,” katanya di Facebook.
Sementara itu dalam hantaran terbaru lewat malam tadi, beliau ketika sidang media bersama Abdel Fattah El-Sisi telah mengulangi pendirian untuk memperkukuhkan hubungan dua hala ke tahap perkongsian strategik.
Kata beliau, kedua-dua negara senada dalam memanfaatkan kekuatan bersama dan meneroka potensi baharu seperti ekonomi digital.
Sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia turut menyatakan kesediaannya untuk bekerjasama rapat dengan Mesir bagi memajukan hubungan ASEAN-Mesir.
“Malaysia juga menggalakkan Mesir untuk meningkatkan penglibatannya dengan ASEAN melalui peranan pentingnya serta sebagai anggota pengasas Kesatuan Afrika.
“Saya dan Presiden El-Sisi turut menyaksikan majlis menandatangani dan pertukaran memorandum persefahaman (MoU) antara Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Kementerian Wakaf Mesir,” katanya.
Beliau menambah, kedua-dua negara akan berusaha lebih kuat dalam merealisasikan beberapa MoU dan perjanjian dua hala yang masih tertangguh.
BACA JUGA Jualan Khairul Aming cecah lebih RM600,000 dalam masa 2 jam
Â