Reformasi NAFAS supaya petani yang untung, bukan kartel

OLEH AHMAD MURSI

NAFAS ditubuhkan pada 1970-an inspirasi dari model koperasi peladang di Taiwan di mana awalnya dibantu kerajaan, sebelum akhirnya berdikari dan diurus oleh petani sendiri. Dari petani, oleh petani, demi petani.

Namun, dengan kurangnya check and balance, NAFAS terpalit dengan isu tatakelola, seperti didedahkan dalam audit forensik 2018/2019 pada zaman Arwah Salahuddin Ayub.

Walaupun digantung untuk pemulihan di era PH, pada zaman tebuk atap PN-Pas, NAFAS kembali kepada keadaan asal.

Kini, kerajaan Madani melalui PMX dan menteri Mat Sabu berusaha pulihkan NAFAS balik kepada tujuan asal sebagai koperasi yang memperkasa petani, bukan mengaut untung dari petani.

NAFAS jadi lubuk kartel ambil kesempatan dari monopoli kontrak baja padi yang diberikan kerajaan secara runding terus bernilai berbilion ringgit. Sebarang usaha baiki tatakelola akan dicabar.

Monopoli beberapa kerat individu ini tanpa persaingan sihat sebabkan inovasi, kualiti input pertanian, dan produktiviti lambat berkembang.

Pemain industri muda kurang berminat untuk masuk ke dalam industri ini, walaupun mereka lebih terbuka menerima teknologi baru seperti AI, Digital, IoT, dan machine learning dll.

Tidak banyak ‘start-up’ tempatan muncul berkait yang akhirnya kita bergantung pada import dari luar sebagai jalan mudah.

Situasi ini merencatkan pembangunan pertanian negara dan mengancam keterjaminan makanan negara.

Monopoli baja padi ini jika tidak diurus dengan baik akan menjejaskan kecekapan, termasuk agihan baja yang lambat (20-220 hari, menurut laporan audit 2019), yang menyebabkan hasil padi menurun dari 4 tan/ha pada tahun 2008 kepada 3.5 tan/ha pada tahun 2023. Ini berlaku walaupun subsidi telah meningkat dari RM500 juta (sebelum 2008) kepada RM1.6 bilion (2008-2023).

Ada juga petani merungut tentang kualiti baja yang rendah atau ketidaksesuaian baja dengan profil tanah di lokasi yang berbeza. Patutnya kini boleh guna AI untuk bantu aspek ini.

Kita bimbang, bila hasil petani makin kurang, minat bertani merosot, dan mereka cenderung beralih ke bidang lain. Ini bahayakan ‘food security’ negara.

Sistem dalaman yang sedia ada dalam NAFAS membuka ruang ketirisan yang menguntungkan segelintir AJP dan pegawai, tetapi merugikan dana kerajaan dan petani.

NAFAS patut diperbaiki dengan formula baru selain atasi monopoli beberapa kerat kartel berkait input pertanian dan mewujudkan persaingan bagi menggalakkan inovasi serta menyempitkan ruang korupsi.

Di zaman ini, teknologi pertanian bergerak ke arah digital, AI, IoT, Big Data, dan blockchain.

Jika NAFAS sendiri tiris, susahlah pertanian kita nak berkembang seiring dengan negara-negara lain.

Â