Skandal projek 1BestariNet panas di Dewan Rakyat pagi ini

Skandal projek 1BestariNet akan dibangkitkan dalam Dewan Rakyat pagi ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat, Datuk Mohd Suhaimi Abdullah (PN-Langkawi) meminta Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menyatakan status terkini projek 1BestariNet dan apakah tindakan undang-undang yang telah dikenakan terhadap syarikat yang telah diberikan tender tersebut.

1BestariNet antara projek panas yang didakwa mempunyai kaitan dengan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Mahiaddin Md Yassin.

Sementara itu Datuk Dr. Suhaili Abdul Rahman (Bebas-Labuan) akan bertanya kepada Menteri Pengangkutan mengenai status menaik taraf Pelabuhan Merdeka Labuan yang kini usang dan dijangka tamat tempoh penggunaannya pada 2026, serta status terkini perancangan pembangunan Pelabuhan Bersepadu Labuan (Labuan Integrated Port).

Pada sesi sama, Jimmy Puah Wee Tse (PH-Tebrau) meminta menteri kewangan menyatakan adakah kerajaan mempunyai perancangan untuk memperkenalkan lebih banyak dasar mengenai reformasi fiskal bertujuan untuk mengukuhkan kewangan negara serta menguatkan ekonomi dalam negara.

RSN Rayer (PH-Jelutong) pula meminta Menteri Pengangkutan menyatakan langkah yang sedang diambil kementerian bagi menangani isu-isu yang dihadapi Malaysia Airlines (MAS), susulan banyak aduan mengenai prestasi perkhidmatan syarikat penerbangan itu kebelakangan ini.

BACA JUGA PM suarakan kekejaman Israel di Sidang Kemuncak Luar Biasa Negara Arab-Islam

Â