Buang terus dari UPNM, tiada peluang kedua pegawai kadet buli junior – Menteri
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas termasuk memberhentikan pengajian penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang didakwa membuli pelajar lain.
Dalam sidang media tengah hari tadi, Khaled berkata di mana-mana universiti pun ada amalan ‘ragging’ ketika orientasi tetapi tidak pernah sampai ke tahap kekerasan.
Beliau memberi jaminan selain diberhentikan pengajian, pegawai kadet terbabit akan dituntut membayar balik biasiswa pengajiannya
“Kita (Kementerian Pertahanan) tidak akan berkompromi soal disiplin ini. Soal ‘ragging’ semasa orientasi itu bukan perkara baru, di mana-mana institusi pun ada, tapi tak pernah membabitkan soal kekerasan.
“Tindakan tegas akan diambil termasuk diberhentikan jadi kadet dan kita akan menuntut dibayar balik tanggungan pengajian yang sudah diberikan sepanjang masa pengajiannya,” katanya selepas Sambutan Hari Integriti Kementerian Pertahanan (Mindef) 2024, hari ini.
Beliau mengulas mengenai seorang kadet yang diseterika di bahagian dada oleh seniornya sehingga menyebabkan kecederaan.
Mangsa dikatakan ditekap seterika ketika diminta untuk menggosok baju seniornya itu.
Sementara itu Mohamed Khaled berkata, hukuman sama itu terpakai kepada mana-mana pegawai kadet yang didapati terbabit kes buli atau mencederakan pegawai kadet lain.
Katanya, Mindef tidak akan berkompromi dengan sebarang kelakuan melanggar disiplin yang membabitkan keganasan atau kekerasan.
BACA JUGA Netizen kantoikan Mahasiswa Indonesia kutuk Malaysia rupanya belajar di Uni Petronas